Anda di sini

Kebakaran di kilang China ragut 38 nyawa

Advertisement
 


BEIJING: Seramai 38 orang terkorban dan dua lagi tercedera dalam kebakaran di sebuah kilang di tengah China, lapor media negara kelmarin, dengan pihak berkuasa mempersalahkannya ke atas pekerja yang melakukan kerja kimpalan secara haram.

Kebakaran meletus di sebuah kilang di bandar Anyang di wilayah Henan pada tengah hari Isnin, lapor agensi berita  Xinhua.

Perkhidmatan penyelamat menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 4.22 petang waktu tempatan di Anyang Kaixinda Trading Co., Ltd,  menurut media negara.

“Selepas menerima isyarat kecemasan, anggota penyelamat dan bomba perbandaran segera mengerahkan pasukannya ke tempat kejadian,” kata penyiar negara CCTV.

Ia menambah bahawa kebakaran itu dipadamkan pada sekitar jam 11 malam waktu tempatan.

Rakaman dari tempat kejadian yang dikongsikan oleh CCTV menunjukkan kepulan asap hitam tebal, dengan sekurang-kurangnya dua trak berada dalam posisi untuk memadamkan kebakaran.

Selain mangsa yang maut, dua orang telah dihantar ke hospital dengan kecederaan yang tidak membahayakan nyawa, lapor akhbar yang dikendalikan oleh kerajaan People’s Daily.

Pihak berkuasa berkata “beberapa suspek” telah ditahan berhubung dengan kebakaran itu.

CCTV kemudian melaporkan, memetik beberapa pegawai tempatan, bahawa siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada “kimpalan elektrik di mana pekerja telah melanggar langkah-langkah keselamatan”.

Presiden China Xi Jinping pada lewat kelmarin mengarahkan pihak berkuasa untuk “keluar merawat mangsa yang tercedera... dan meneruskan secara tegas akauntabiliti sejajar dengan undang-undang”.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa harus “menyiasat secara komprehensif dan memperbetulkan  risiko tersembunyi  untuk mencegah berlakunya kemalangan  besar”, memetik satu siri kemalangan terkini di Henan dan wilayah berhampiran Shanxi.

Menurut penyedia data Tianyancha, Anyang Kaixinda Trading Co. merupakan sebuah perniagaan borong membabitkan mesin, bahan-bahan pembinaan, bahan kimia tidak berbahaya, pakaian dan peralatan memadamkan kebakaran.

Kemalangan dalam perindustrian adalah biasa berlaku di China disebabkan oleh piawai keselamatan yang lemah dan rasuah di kalangan pegawai yang ditugaskan untuk menguatkuasakannya. 

Berita  mengenai kebakaran di Anyang menyusuli letupan di sebuah kilang kimia di Taiyuan yang berhampiran, ibu negeri di wilayah Shanxi, pada  Isnin.

Rakaman video ditayangkan di media sosial menunjukkan kebakaran di kawasan perindustrian memuntahkan asap kelabu tebal ke udara.

Gambar lain menunjukkan beberapa bangunan berhampiran disembur dengan serpihan kaca, dan penduduk tempatan yang ketakutan melarikan diri daripada letupan.

“Anggota  bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian, api berjaya dipadamkan, serta angka korban jiwa masih belum diketahui,” Dahebao – sebuah akhbar rasmi yang berpusat di Henan – melaporkan di platform  Weibo yang sama dengan Twitter, memetik pihak berkuasa.

Pada Jun, seorang terbunuh dan seorang lagi tercedera dalam letupan di sebuah kilang bahan kimia di Shanghai.

Pada tahun lepas, letupan gas membunuh 25 orang dan memusnahkan beberapa bangunan di tengah bandar Shiyan.

Pada 2015, letupan besar di sebuah gudang kimia di utara Tianjin telah mengorbankan 165 orang, dalam salah satu kemalangan perindustrian yang terburuk di China. — AFP
 
 

Advertisement