Anda di sini

GPS akur titah Agong bentuk kerajaan perpaduan: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari menunjukkan kenyataan media GPS mengenai permohonan maaf kepimpinan tertinggi DAP selepas sidang media di Ibu Pejabat PBB, hari ni. Turut kelihatan Dr Sim (kiri) dan Salang (kanan). - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari menunjukkan kenyataan media GPS mengenai permohonan maaf kepimpinan tertinggi DAP selepas sidang media di Ibu Pejabat PBB, hari ni. Turut kelihatan Dr Sim (kiri) dan Salang (kanan). - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, baginda menasihati agar kerajaan perpaduan dibentuk demi mengatasi kemelut politik negara.

“GPS akur dengan titah baginda mengikut kuasa yang ada pada baginda di bawah Perlembagaan Malaysia.

“Apa yang baginda mahukan adalah kerajaan yang kuat dan negara kita adalah Raja Berperlembagaan yang harus kita taati,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerja Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.

Pengerusi GPS itu berkata, dengan apa yang berlaku sekarang, sudah tentu kerajaan yang dibentuk adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Sementara mengenai permohonan maaf terbuka kepimpinan tertinggi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Abang Johari berkata, ia menggambarkan apa yang dilakukan kerajaan Sarawak selama ini pada landasan yang betul.

“Kita menerima permohonan maaf tersebut dengan hati yang terbuka dan jiwa yang besar.

“Ini bermakna kita (Sarawak) selama ini adalah betul dan politik kita adalah politik yang bersih,” katanya.

Beliau memaklumkan pagi tadi, Setiausaha Aging DAP Anthony Loke telah membuat kunjungan hormat kepada kepimpinan tertinggi GPS.

Katanya, beliau (Loke) telah membuat permohonan maaf secara terbuka untuk apa jua kenyataan yang telah menyinggung perasaan kerajaan serta rakyat Sarawak.

Ia kata Abang Johari, diikuti permohonan maaf daripada Pengerusi Nasional DAP Lim Guan Eng menerusi laman Facebook beliau.

“Apa yang penting mereka memohon maaf dan mereka mengetahui kesilapan mereka.

“Malahan, mereka berkata, ia membuka lembaran baharu namun pada masa yang sama mereka perlu menghormati komponen parti, iaitu SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak),” tegasnya.

Ditanya, sama ada kunjungan itu turut menjemput GPS menyertai Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan.

“Tiada (jemputan)... mereka cuma memohon maaf. Mereka tahu angka (kerusi dimenangi) kita,” ujarnya.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 4 petang itu turut dihadiri presiden parti-parti komponen GPS iaitu Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing.
 

  • oleh
  • Advertisement