Anda di sini

Giroud sertai Henry sebagai penjaring terbanyak Perancis

Advertisement
Giroud ketika menjalani latihan di Stadium Jassim bin Hamid di Doha. — Gambar AFP
Giroud ketika menjalani latihan di Stadium Jassim bin Hamid di Doha. — Gambar AFP

DOHA: Olivier Giroud menyertai Thierry Henry sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman untuk Perancis dengan dua gol ketika penyandang gelaran juara itu bangkit untuk menewaskan Australia 4-1 dan mempertahankan Piala Dunia mereka semalam.

Australia mendahului dengan mengejut di Stadium Al Janoub, Qatar pada minit kesembilan menerusi gol Craig Goodwin.

Perancis, yang penampilannya untuk kejohanan itu diselubungi kecederaan, menyaksikan pemain pertahanan kiri Lucas Hernandez turut mengalami kecederaan dalam pergerakan yang memberi mereka satu gol. 

Bagaimanapun, mereka bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Adrien Rabiot sebelum Giroud memberi mereka pendahuluan dengan hantaran mudah pada minit ke-32 untuk gol antarabangsanya yang ke-50.

Kylian Mbappe melakar namanya di papan skor pada separuh masa kedua dan Giroud memeterai kemenangan dengan menyamai rekod Henry yang sudah memberi 51 gol untuk Perancis.

Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan D selepas Denmark dan Tunisia seri 0-0.

“Ia hebat untuk menjaringkan empat gol, walaupun kami boleh mendapatkan lebih banyak gol, dan ia satu permulaan yang sangat baik untuk kami,” kata jurulatih Perancis Didier Deschamps.

Pada usia 36 tahun, penyerang veteran AC Milan, Giroud, yang sudah 115 kali penampilan, menjadi pemain tertua yang menjaringkan gol untuk Perancis pada Piala Dunia.

Namun demikian, hampir pasti bahawa dia tidak akan bermain di sini sekiranya Karim Benzema cergas.

Sebaliknya, pemergian pemenang Ballon d’Or itu akibat kecederaan paha pada malam sebelum kejohanan telah memberi kelebihan kepada Giroud, yang merupakan pemain utama Deschamps dalam kempen Piala Dunia 2018 Perancis.

“Dia patut dihormati kerana sudah beraksi pada peringkat tertinggi selama bertahun-tahun dan memberikan persembahan mantap sungguhpun tidak sesiapa yang percaya kepadanya,” kata rakan sepasukan, Benjamin Pavard.

“Saya sangat gembira untuknya kerana dia seorang lelaki yang hebat. Saya harap dia terus maju dan memecah lebih banyak rekod.”

Bukan hanya Benzema yang tidak hadir di Les Bleus, Paul Pogba dan N’Golo Kante – gandingan pemain tengah mereka empat tahun lalu – juga keluar dari kejohanan.

Pemain pertahanan tengah Raphael Varane tidak mengambil risiko memandangkan dia mengalami kecederaan kaki semasa bermain untuk Manchester United sebulan lalu.

Ini bermakna, Dayot Upamecano dan Ibrahima Konate bermain bersama di pertahanan tengah manakala Rabiot menyertai Aurelien Tchouameni di bahagian tengah.

Dengan masalah-masalah kecederaan, dan selepas melihat kejadian perlawanan Argentina sebelunya, ia menjadi malam yang baik untuk Perancis tetapi malam yang menyedihkan untuk Socceroos. — AFP

Advertisement