Anda di sini

Gempa bumi 7.0 gegar Kepulauan Solomon 

Advertisement

Goncang bangunan, jejas bekalan elektrik namun tiada kecederaan serius atau kerosakan besar

Kereta yang rosak akibat ditimpa serpihan di luar sebuah bangunan di Honiara kelmarin selepas gempa bumi berukuran 7.0 melanda Kepulauan Solomon. — Gambar AFP
Kereta yang rosak akibat ditimpa serpihan di luar sebuah bangunan di Honiara kelmarin selepas gempa bumi berukuran 7.0 melanda Kepulauan Solomon. — Gambar AFP

HONIARA: Gempa bumi berukuran 7.0 magnitud melanda Kepulauan Solomon kelmarin, menggoncangkan bangunan, menjatuhkan barang-barang dari rak dan memutuskan bekalan elektrik sekejap di beberapa bahagian di ibu negara Honiara.

Tiada laporan mengenai kecederaan serius atau kerosakan bangunan yang besar.

“Ini adalah sesuatu yang besar,” Joy Nisha, seorang penyambut tetamu di Heritage Park Hotel di ibu negara, memberitahu AFP.

“Sebahagian daripada benda di dalam hotel jatuh. Semua orang  kelihatan OK, namun panik.”

Di sebuah pusat beli-belah yang baharu dibina, sejumlah besar salutan telah terbuka, menimpa bahagian belakang sebuah kereta dan memecahkan cermin.

Bumbung satu bahagian sambungan di Suruhanjaya Tinggi Austria turut roboh, Perdana Menteri Anthony Albanese memberitahu parlimen di Canberra, menyatakan “tiada kecederaan yang diketahui”.

Menteri Pertahanan Australia Richard Marles menyatakan penilaian bagi kerosakan sedang dilakukan dan ia masih terlalu awal untuk mengetahui sekiranya bantuan ketenteraan akan dihantar untuk membantu.”

“Kami sering bersiap siaga bagi membantu negara jiran Pasifik kami,” beliau memberitahu AFP melalui panggilan telefon dari Siem Reap, Kemboja.

“Kami tidak akan ragu-ragu bagi melihat apa yang diperlukan… dan bermula dari sana.”

Seorang wartawan AFP di Honiara melaporkan gegaran itu berlaku selama kira-kira 20 saat.

Bekalan elektrik terputus serta-merta di beberpa kawasan di ibu negara dan talian telefon turut terjejas.

Di sekitar bandar, penduduk berlari meninggalkan kediaman dan tempat kerja mereka untuk pergi ke kawasan yang lebih tinggi, bimbang berlakunya tsunami.

“Saya berasa sangat takut kerana ini merupakan kali pertama saya mengalami gempa bumi seperti ini,” kata  seorang pengurus di Pacific Casino Hotel, yang meminta namanya dirahsiakan.

“Bangunan telah bergegar dengan sangat kuat… ia adalah benar-benar kuat sehingga membuatkan kamu bergerak ke sana ke mari.”

Beberapa kakitangan dan penghuni meninggalkan bangunan ke tempat yang lebih selamat seperti tempat letak kereta, berharap tidak akan ditimpa oleh serpihan ketika dalam perjalanan keluar.

Pendakwa raya umum negara,John Muria, menghantar gambar di media sosial menunjukkan fail pejabat yang jatuh dari beberapa kabinet besi besar.

Gempa bumi yang berlaku pada kedalaman yang agak cetek sehingga 15 kilometer, hanya di luar pantai barat daya  pulau Guadalcanal, menurut US Geological Survey.

Satu amaran tsunami telah dikeluarkan bagi kawasan di pantai Solomon dalam jarak 300 kilometer (185 batu) dari pusat utama, namun pusat amaran Pasifik yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudian menyatakan ancaman telah sebahagian besarnya berlalu.

Ketika waktu malam menjelma, bekalan elektrik mula kembali berfungsi di Honiara, namun pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk agar sentiasa berhati-hati.

“Kami menjangkakan gegaran susulan maka penduduk harus tetap berjaga-jaga di sekitar bangunan dan struktur tinggi disebabkan oleh saiz gempa bumi,” kata David Hiba Hiriasia, pengarah bagi Perkhidmatan Meteorologi Kepulauan Solomon.

Kakitangan di sebuah hospital telah bersedia untuk memindahkan pesakit sekiranya perlu.
Menurut data PBB, kira-kira 20,000 orang tinggal dalam jarak 50 kilometer dari pusat gempa.

Solomon – sebuah kepulauan yang berselerak di Pasifik Selatan – adalah kediaman bagi kira-kira 800,000 orang. — AFP

Advertisement