Anda di sini

Dana pembangunan jalan ladang khas diperlukan bagi pembinaan jalan akses

Advertisement
 

KUCHING: Dana pembangunan jalan ladang khas diperlukan bagi pembinaan jalan akses untuk memudahkan urusan pekebun lada dan kelapa sawit yang bukan sahaja untuk penduduk di kawasan Meluan, malah seluruh Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin berkata, Meluan adalah pengeluar utama lada Sarawak.

"Namun kebanyakan peladang lada dan kelapa sawit ini merupakan pekebun kecil di mana mereka mempunyai akses jalan yang sangat buruk.

"Oleh itu, Dana Pembangunan Jalan Ladang khas ini tidak hanya untuk Meluan tetapi seluruh Sarawak bagi memudahkan urusan pekebun terutama berhubung pelaksanaan jalan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan DUN hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap agar lebih banyak dana diperuntukkan bagi tujuan itu.

"Di Meluan, saya harap sekurang-kurangnya RM5 juta dapat diperuntukkan setiap tahun untuk ini tujuan. 

"Sejak akhir-akhir ini harga komoditi lada dan kelapa sawit tidak menggalakkan. Tetapi harga input ladang telah meningkat," ujarnya.

Beliau bagaimanapun, ingin melihat lebih banyak usaha kreatif oleh Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah untuk menangani isu ini. 

"Saya berharap kerajaan akan merancang, menilai dan melaksanakan projek-projek tertentu untuk kebaikan penduduk," katanya sambil menambah, projek berjiwa rakyat mesti diberi keutamaan sepenuhnya.

Selain itu, beliau berharap agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan keupayaan bagi memastikan semua projek yang diluluskan dihantar mengikut jadual. 
 

  • oleh
  • Advertisement