Anda di sini

Beri perhatian serius siapkan projek sakit: Safiee

Advertisement

Percepat pembinaan Jalan Passin-Matu, Jalan Bawang Assan/Tanjung Manis/Sungai Ilas/Kampung Sebana (Fasa II) 

Safiee membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan DUN. -Gambar Muhammad Rais Sanusi
Safiee membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan DUN. -Gambar Muhammad Rais Sanusi

“Di kawasan saya terdapat dua projek rakyat yang sangat ditunggu rakyat serta berimpak tinggi dalam meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk yang telah diluluskan Premier Sarawak pada 2018.”  

Safiee Ahmad
ADUN Daro 


Laporan oleh 
Patricia Gari 
Jessica Jawing 
Agnes Tugong
Hamkar Sarbinee

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad memohon kementerian berkaitan mempercepatkan pelaksanaan dua projek rakyat di kawasan itu yang dikategorikan sebagai projek sakit. 

Dua projek tersebut, pertama pembinaan Jalan Passin-Matu sepanjang 17.6 kilometer dan projek Jalan Bawang Assan/Tanjung Manis/Sungai Ilas/Kampung Sebana (Fasa II) sepanjang 24 kilometer.

“Di kawasan saya terdapat dua projek rakyat yang sangat ditunggu rakyat serta berimpak tinggi dalam meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk yang telah diluluskan Premier Sarawak pada 2018. 

“Malangnya kedua-dua projek yang sepatutnya dijadualkan siap pada penghujung tahun 2022 ini telah terbengkalai dan dikategorikan sebagai projek sakit di mana prestasi kerja hanya di bawah 10 peratus. 

“Difahamkan kontraktor yang ditawarkan projek ini telah ditamatkan. 

“Sesungguhnya kegagalan pihak kontraktor melaksanakan projek ini seperti yang dirancang telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan penduduk di kedua-dua kawasan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Safiee sehingga kini, penduduk di kawasan berkenaan masih bergantung kepada perhubungan sungai yang bukan sahaja jauh lebih, malah menyusahkan dan amat mahal dari segi kos. 

Oleh itu, bagi pihak penduduk di kawasannya, beliau merayu kepada kementerian berkaitan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak supaya memberi perhatian serius untuk mempercepatkan pelaksanaan menyiapkan kedua-dua projek ini memandangkan projek ini amat penting dan telah lama terbengkalai. 

Safiee turut memohon agar kaedah menyiapkan projek itu diberi keutamaan melalui kontraktor penyelamat. 

Sekiranya ia dilaksana melalui proses tender semula, maka masa yang diperlukan akan lebih panjang. 

“Kedua-dua projek jalan ini bukan sahaja sebagai perhubungan semata-mata tetapi merupakan sebagai ‘game-changer’ dalam meningkatkan taraf hidup atau sosioekonomi masyarakat setempat terutama dalam bidang pertanian yang merupakan sektor utama penduduk di luar bandar,” katanya. 
 

Advertisement