Anda di sini

Bekas penolong jurutera gagal melapor penerimaan duit rasuah didenda

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiring keluar dari kamar mahkamah oleh seorang pegawai SPRM pada Rabu setelah mengaku bersalah atas lima tuduhan menerima rasuah.
Tertuduh (kiri) diiring keluar dari kamar mahkamah oleh seorang pegawai SPRM pada Rabu setelah mengaku bersalah atas lima tuduhan menerima rasuah.

MIRI: Seorang bekas penolong jurutera didenda RM5,000 atau 15 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu kerana gagal melaporkan penerimaan duit rasuah berjumlah RM1,100 daripada lima kontraktor elektrik.
    
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Amir Shah Amir Hassan setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes,  berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Kambarie Sulong, 46, dari Kampung Wireless di sini telah didakwa atas lima tuduhan mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh sebelum ini bekerja sebagai penolong jurutera di sebuah syarikat bekalan elektrik di sini didapati telah menerima wang rasuah daripada lima kontraktor elektrik yang kesemuanya berjumlah RM1,100.
    
Wang rasuah itu diterima bagi tujuan membantu mempercepat proses kelulusan pemasangan elektrik di premis-premis yang dibuat oleh lima kontraktor terbabit dan tertuduh telah gagal melaporkan penerimaan wang tersebut.
    
Kelima-lima kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 22 Mei 2020 sehingga 24 Mei 2020 di sebuah bank di Jalan Bendahara di sini.
    
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, manakala tertuduh diwakili peguam bela Shikh Rajjish Ahmad.
 

  • oleh
  • Advertisement