Anda di sini

Astro Kasih sumbang RM40,000, inisiatif untuk SK Magandai Kota Marudu

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Astro terus mempergiatkan usaha dalam memastikan lebih ramai anak-anak sekolah mendapat manfaat pendidikan.

Atas inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat penyiaran swasta ini, sebanyak RM40,000 sumbangan disediakan untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai Kota Marudu yang terletak jauh di kawasan pedalaman kira-kira 74 kilometer dari pekan Kota Marudu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro-Designate Euan Smith berkata, pemberian sumbangan berkenaan sebagai bantuan pendidikan untuk manfaat warga sekolah berkenaan.

Katanya, SK Magandai juga adalah penerima pertama pembinaan asrama Astro Kasih yang siap pada 2010.

Pada majlis penyampaian sumbangan itu, beliau turut mengumumkan pemberian geran pendidikan khas sebanyak RM500 kepada tiga murid terbaik SK Magandai untuk dijadikan motivasi murid dalam mencapai kecemerlangan akademik.

“Bidang pendidikan sentiasa dekat di hati kami dan anak-anak di asrama sekolah ini adalah inspirasi kami untuk terus membuka minda mereka melalui inisiatif seperti saluran pembelajaran TV Tutor dan program jangkauan seperti yang kami bina di sini bersama komuniti SK Magandai.

“Kami bertuah untuk bekerjasama dengan masyarakat, ibu bapa, guru dan anak-anak di Magandai ini untuk pendidikan selama sedekad dan kami turut menyaksikan bagaimana pelajar berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk diri mereka sendiri.

"Pihak Astro membina asrama sekolah, menganjurkan program 'Walk for Education' dan banyak lagi program untuk anak-anak di sini. Justeru, kami menawarkan geran pendidikan sebagai insentif kepada pelajar agar mereka terus melakukan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Magandai Jairun Maiba berkata, sekolah berkenaan mempunyai hampir 130 pelajar dengan kira-kira 50 orang tinggal di asrama.

Menurutnya, sejak Astro membina asrama sekolah itu, para murid dapat mengurangkan masa mereka untuk ulang alik antara sekolah dan rumah.

Sehubungan itu katanya, murid-murid mempunyai lebih banyak masa untuk mengulang kaji pelajaran.

"Pada masa sama, kadar keciciran murid ke sekolah semakin berkurangan dan rekod kehadiran murid juga bertambah baik.

"Antara pencapaian sekolah adalah berjaya merekodkan kadar lulus tertinggi iaitu 87.5 peratus sekali gus menjadikan kami sekolah terbaik untuk kadar lulus tertinggi di daerah Kota Marudu sejak asrama ini dibina," katanya.

Astro menyumbangkan sebanyak RM40,000 hasil daripada program 'Walk for Education' yang dianjurkan pada bulan Mei lepas untuk bekalan pendidikan seperti LCD projektor, PA sistem, serta buku pembelajaran.

Ia adalah usaha untuk menyokong pendidikan anak-anak serta meningkatkan kesedaran bagi pelajar yang tinggal di kawasan terpencil dan terpaksa berjalan ke sekolah setiap hari.

Sejak menubuhkan Asrama Astro pada 2010, Astro Kasih menjadi salah satu cabang kemampanan Astro yang berjaya menyokong pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman khususnya di Malaysia Timur.

Asrama pertama dibina pada 2010 di SK Magandai, diikuti dua asrama di SK Sg Paku di Kapit Sarawak dan SK Malinsau di Ranau.

Setiap tahun, Astro Kasih turut membantu pelajar menjimatkan lebih 190,000 jam perjalanan sekolah harian serta menyediakan kemudahan asrama, komputer riba, buku ulang kaji, kasut, pakaian seragam dan bekalan pendidikan lain.

Astro Kasih memperjuangkan pendidikan untuk semua dengan memberi sokongan kepada pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman dengan mewujudkan persekitaran hidup dan pembelajaran yang kondusif.

Selain itu, inisiatif yang dilaksanakan ini juga membantu menyumbang kepada peningkatan kadar lulus peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada purata 39.4 peratus bagi ketiga-tiga sekolah berkenaan dari 2010 hingga 2019.

Program 'Walk for Education' dianjurkan Astro Kasih pada 28 Mei 2022 di Taman Wetland Putrajaya bertujuan meningkatkan kesedaran dan mengumpul sokongan kepada pelajar di kawasan pedalaman terpencil yang berjalan kaki ke sekolah setiap hari.

Para peserta diminta membuat simulasi perjalanan kanak-kanak yang membawa beg sekolah mengandungi peralatan sekolah dan berjalan sejauh lima kilometer untuk disesuaikan dengan program berkenaan.

Lebih 2,000 peserta berjaya menyertai program 'Walk for Education' dan semua beg sekolah serta hasil kutipan lain disumbangkan kepada asrama Astro.

Advertisement