Anda di sini

Anwar bertolak ke Istana Negara untuk angkat sumpah sebagai Perdana Menteri

Advertisement
 Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim bergerak ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10. - Gambar Bernama
Anwar bergerak ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10. - Gambar Bernama
KAJANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak dari kediamannya ke Istana Negara pada 4.03 petang tadi untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Ahli Parlimen Tambun yang memakai baju Melayu berwarna hitam lengkap bersamping dan bersongkok bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berbaju kebaya labuh itu keluar dari kediamannya di Sungai Long di sini, diiringi pengiring polis.

Ketika keluar dari kediamannya, Anwar, 75, sempat melambaikan tangan ke arah petugas media yang telah berkampung di hadapan rumahnya sejak Ahad selepas Pilihan Raya Umum ke-15 bagi mendapatkan perkembangan politik semasa.

Terdahulu penyokong beliau yang mengerumuni kediamannya turut melaungkan slogan ‘reformasi’.

Sementara itu, suasana di kediaman Anwar meriah dikerumuni pimpinan PH sejak pukul 1 tengah hari ini selain petugas media termasuk media antarabangsa yang semakin ramai berkumpul di sini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan sebentar tadi berkata pelantikan Pengerusi PH itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama 

Advertisement