Anda di sini

23 Dis sebutan lanjut kes lelaki warga asing didakwa salah guna dadah

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki warga Brunei yang dituduh menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Tertuduh kemudian diperintahkan dibebas dengan jaminan RM3,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
    
Fakhrul Azman Awang Magani dari Brunei Darussalam, telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 malam, 11 November lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.
    
Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.
    
Pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes belum siap.
    
Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi.

  • oleh
  • Advertisement