Anda di sini

Tentera Israel bunuh lelaki Palestin dalam serbuan di Tebing Barat

Advertisement
Penduduk dan pejuang Palestin mengusung jenazah Al-Saadi yang ditembak mati semasa serbuan oleh tentera rejim Israel di bandar Jenin di Tebing Barat kelmarin. — Gambar AFP 
Penduduk dan pejuang Palestin mengusung jenazah Al-Saadi yang ditembak mati semasa serbuan oleh tentera rejim Israel di bandar Jenin di Tebing Barat kelmarin. — Gambar AFP 

JENIN: Tentera Israel telah membunuh seorang lelaki Palestin dalam serbuan di Tebing Barat kelmarin, kata kementerian kesihatan Palestin.
Rejim Israel mengesahkan tenteranya melepaskan tembakan ketika operasi di kawasan itu yang menyasarkan seorang suspek.

Pihak kementerian mendakwa bahawa lelaki yang terbunuh di kawasan utara Jenin merupakan seorang warga awam, yang dinamakan sebagai Mahmoud Al-Saadi, 19, oleh timbalan gabenor  bandar Kamal Abu al-Rub.

“Seorang warga awam meninggal dunia akibat kecederaan kritikal selepas terkena tembakan peluru hidup oleh pihak penakluk (Israel) di bahagian perut, di Jenin,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa dua orang lagi mengalami kecederaan serius.

Tentera Israel menyatakan ia telah beroperasi di Wadi Bruqin, berhampiran Jenin, cuba untuk menahan seorang pejuang Palestin yang dikehendaki dinamakan sebagai Ratib al-Bali.

“Ketika aktiviti itu, tembakan telah dilepaskan dan bahan letupan dilontar ke arah anggota tentera,” katanya.

“Anggota tentera membalas dengan tembakan peluru hidup terhadap suspek yang menembak mereka.

“Satu sasaran telah dikenal pasti,” kata tentera Israel, tanpa mengesahkan sebarang kematian.

Agensi berita rasmi Palestin Wafa melaporkan pertempuran di kawasan Jenin berlaku ketika tentera Israel mengepung sebuah rumah.

Selepas kejadian tembakan, sekumpulan besar orang awam berkumpul di sekitar jenazah Saadi, yang ditutupi dengan kain putih.

Keganasan telah meningkat pada tahun ini di Tebing Barat, di mana rejim Israel telah melancarkan serbuan hampir setiap hari sejak satu siri serangan di Israel yang mengorbankan beberapa orang awam. — AFP 

Advertisement