Anda di sini

PRU15: Dr Mahathir mahu parti bentuk kerajaan pulih masalah negara

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Selepas berdiam diri sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini tampil mengeluarkan kenyataan mahu pihak yang menang mendirikan kerajaan Persekutuan dan memulihkan segala masalah dihadapi negara.

Mengakui sedih dengan kekalahan partinya di kesemua 125 kerusi yang ditandingi, beliau bagaimanapun menerima pilihan rakyat. 

“Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan (Dewan Rakyat). Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugurkan.

“Yang boleh dilakukan Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Dr Mahathir gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15 dan kerusi itu dimenangi calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang memperolehi majoriti 13,518 undi.

Perdana menteri keempat dan ketujuh negara itu berkata selepas ini beliau akan menumpukan kepada penulisan berkenaan sejarah dan aktiviti dalam negara.

“Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British. Saya juga terbuka untuk ditemu duga oleh penulis,” katanya.

Keputusan PRU15 Sabtu lepas menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

Pada pilihan raya umum itu, Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua), Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi manakala Pejuang gagal memenangi mana-mana kerusi Parlimen.

Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri Tioman, Pahang pula akan diadakan semula secara serentak dengan proses penamaan calon esok, pengundian awal pada 3 Dis manakala pengundian 7 Dis ini. - Bernama 

Advertisement