Anda di sini

Penganggur mengaku miliki ganja didenda RM2,200

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,200 terhadap seorang penganggur berusia 32 tahun atau penjara empat bulan selepas dia mengaku bersalah memiliki 1.24 gram ganja pada Julai tahun ini.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamaluddin Mohd Taim dari Kampung Bintawa Tengah, Petra Jaya di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jamaluddin melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bintawa Ulu di sini sekitar jam 11.35 malam pada 26 Julai tahun ini.

Berdasarkan fakta kes, polis telah menahannya di premis itu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah.

Pemeriksaan ke atas Jamaluddin menemui dua peket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja.

Laporan ahli kimia bertarikh 22 Ogos 2022, telah mengesahkan ia adalah ganja seberat 1.24 gram.

Pendakwaan kes oleh Insp Mohd Adzmei Ahmad manakala Jamaluddin tidak diwakili peguam.

Advertisement