Anda di sini

Penalti lewat Bale selamatkan Wales rantai AS

Advertisement
Bale
Bale

DOHA: Jurulatih Wales, Rob Page berkata “sekali lagi semuanya tentang Gareth Bale” selepas dia menjaringkan penalti lewat untuk menyelamatkan keputusan seri 1-1 semasa menentang Amerika Syarikat (AS) pada Piala Dunia semalam.

Bale, penjaring terbanyak sepanjang masa Wales, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82 untuk mendapatkan satu mata buat pasukannya dalam perlawanan Piala Dunia mereka yang pertama sejak 1958.

Ditanya sama ada Bale akan mengambil penalti selepas kekasaran oleh Walker Zimmerman, Page memberitahu ITV: “Sejuta peratus. Dia tidak pernah mengecewakan kami. Sekali lagi semuanya tentang Bale.”

Bale membuat permulaan pertamanya untuk kelab atau negara sejak akhir September, tetapi Page tidak meragui keupayaan kaptennya untuk beraksi di pentas terbesar.

“Tidak kira apa-apa yang dia lakukan di peringkat kelab, dia berjaya menyarung jersi Wales dan melakukan perkara yang mengejutkan orang ramai,” kata Page.

Wales ketinggalan oleh gol baik Tim Weah pada separuh masa pertama dan kelihatan akan tersungkur kepada kekalahan sebelum Bale dijatuhkan di dalam kawasan oleh pemain pertahanan Zimmerman.

“Ia satu perasaan yang menakjubkan untuk menjaringkan gol, tetapi kami lebih suka jika mengutip tiga mata,” kata Bale kepada ITV.

“Ia persembahan pasukan yang hebat, terutamanya pada separuh masa kedua apabila kami menunjukkan semangat dan keazaman yang sebenar untuk kembali ke dalam permainan.

“Kami berbangga dengan itu. Kami ada beberapa perkara untuk ditambahbaik dan perkara untuk diusahakan.”

Wales menentang Iran pada hari Jumaat sebelum menentang negara jiran England dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pada 29 November.

“Kami berkata semasa masuk bahawa kami tidak mahu kalah dalam perlawanan pertama. Kami tidak semestinya memenanginya tetapi yang penting kami tidak tewas. Ia mata yang sangat penting bagi kami,” kata Page. 

Jurulatih AS Gregg Berhalter berkata gol penyamaan Bale ialah kenyataan yang sukar ditelan buat pasukan mudanya.

“Berjalan ke bilik persalinan selepas perlawanan, kami dapat melihat kekecewaan semua orang. Ia tidak kelihatan seperti pasukan yang bermain dalam Piala Dunia pertama mereka,” kata Berhalter.

“Akhirnya kami tersadung oleh Wales. Saya kecewa dengan keputusan itu tetapi bangga dengan usaha kami.”

Berhalter tidak meragui penalti itu tetapi merasakan bahawa bola telah keluar lebih awal.

“Saya pasti bola keluar. Saya yakin bola keluar dengan margin yang besar juga. Saya terkejut ia tidak dibangkitkan.” — AFP 

Advertisement