Anda di sini

Masuk secara haram, lelaki warga Indonesia dipenjara empat bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah memasuki Sarawak secara haram.

Hakim Afidah Abdul Rahman turut memerintahkan hukuman penjara terhadap Nur Hasan, 22, dari Kampung Bondowoso Jawa Timur, Indonesia berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 12 November 2022.

Nur Hasan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, apabila disabitkan.

Dia melakukan kesalahan itu di tingkat atas sebuah kedai makan di Taman Malihah di sini sekitar jam 6.40 petang pada 12 November 2022.

Sementara itu, dia turut dijatuhkan hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mengendalikan tiga mesin judi, pada hari dan masa yang sama.

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh dia ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman.

Nur Hasan didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 bagi setiap mesin judi dan penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu tingkat atas sebuah kedai makan dan menahannya selepas gagal mengemukakan dokumen sah untuk memasuki Sarawak.

Pasukan serbuan kemudiannya menjumpai beberapa alat perjudian dan merampas barang-barang itu.

Selepas dianalisis oleh seorang pakar mendedahkan bahawa barang-barang itu adalah mesin perjudian.

Pendakwaan dijalankan secara berasingan oleh DPP Mohamad Aiman ​​​​Mutallib Mohamad Shariff dan pegawai pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

Advertisement