Anda di sini

GPS akur jika Agong putuskan untuk tubuh kerajaan perpaduan: Fadillah

Advertisement
Fadillah ketika ditemui pemberita di DUN selepas mengadakan pertemuan dan memberi taklimat kepada Abang Johari, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Fadillah ketika ditemui pemberita di DUN selepas mengadakan pertemuan dan memberi taklimat kepada Abang Johari, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur dan bersetuju jika Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memutuskan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bagi mentadbir negara.

Ketua Whip GPS Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia seperti mana yang telah diputuskan menerusi kenyataan sebelum ini yang mana GPS memang berhasrat dari segi sokongan untuk menubuhkan kerajaan bersama dengan beberapa parti.

"Namun pada masa yang sama, kita juga patuh dengan apa sahaja keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong.

"Semasa menghadap, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) memberi nasihat bahawa dalam keadaan tidak ada seorang pun mendapat majoriti sokongan menjadi Perdana Menteri, Tuanku berhasrat kalau dapat untuk kita berbincang mempertimbangkan sama ada boleh ditubuhkan kerajaan perpaduan.

"Jadi, saya tadi tidak dapat membuat keputusan dan kita mendengar pandangan Tuanku dan akan membawa kepada pucuk pimpinan GPS. Kita sudah memberi taklimat kepada Premier.

"Kalau itu keputusan (tubuhkan kerajaan perpaduan) Yang di-Pertuan Agong, kita akan akur. Kita akan bersetuju," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di DUN di sini, hari ini.

Selain Fadillah, turut bersama mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak ialah tiga Ahli Parlimen GPS iaitu Datuk Seri Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Aaron Ago Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Dato Sri Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Keempat-empat mereka terdahulu menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, Kuala Lumpur sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan PBB berkata, mereka telah memberi taklimat kepada Premier dan beliau (Premier) menyatakan pendirian yang sama, iaitu masih menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Ditanya mengenai bila keputusan siapa Perdana Menteri, beliau menegaskan ia adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Esok Mesyuarat Khas Raja-Raja diadakan dan dari situ, Raja-Raja mungkin berbincang dan akan diputuskan. Kita tidak tahu," tegasnya.

Menjawab kepada pertanyaan sama ada GPS akan bekerjasama dengan PH, Fadillah tetap bertegas bahawa mereka masih menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Abang Johari yang juga Pengerusi GPS ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN berkata, beliau masih memantau perkembangan semasa yang berlaku di Semenanjung Malaysia sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

"Masih sama, kita masih tidak tahu. Mereka masih lagi berunding.

"Ya kita masih menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika diminta mengulas mengenai pertemuan bersama empat Ahli Parlimen GPS yang menghadap Agong pagi tadi.

Kemelut penubuhan kerajaan persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri yang memasuki hari kelima hari ini menyaksikan masih tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi, PN (73), BN (30), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6), Warisan (3), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

GPS merupakan gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Advertisement