Anda di sini

Ceroboh bengkel trak, lelaki didenda RM1,600 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhkan hukuman denda RM1,600 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh bengkel trak.

Lee Tze Ken mengaku bersalah di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali atas pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah bengkel yang terletak di Batu Kawa di sini sekitar jam 1 petang pada 18 November 2022.

Berdasarkan fakta kes, apabila pengadu kes ini tiba di premis berkenaan, dia melihat lima lelaki berkeliaran di sekitar kawasan itu, manakala seorang daripada mereka memegang tukul besi.

Apabila lelaki terbabit mengetahui kehadiran pengadu di kawasan itu, mereka segera melarikan diri dan meninggalkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di premis berkenaan, manakala tiga daripada mereka berjaya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Laporan polis telah dibuat dan bertindak atas maklumat yang diberikan, polis menahan Lee pada hari yang sama sekitar jam 8 malam.

Pendakwaan kes dikendalikan Insp Mohd Adzmei Ahmad manakala Lee tidak diwakili peguam.

Advertisement