Anda di sini

Belanda raih kemenangan 2-0 ke atas Senegal

Advertisement
Gakpo (dua kiri) bersaing mendapatkan bola dengan pemain pertahanan  Senega Abdou Diallo pada perlawanan  Piala Dunia Kumpulan A di antara Senegal dan Belanda di Stadium Al-Thumama di Doha, kelmarin. — Gambar AFP
Gakpo (dua kiri) bersaing mendapatkan bola dengan pemain pertahanan Senega Abdou Diallo pada perlawanan  Piala Dunia Kumpulan A di antara Senegal dan Belanda di Stadium Al-Thumama di Doha, kelmarin. — Gambar AFP

DOHA: Gol lewat oleh Cody Gakpo dan Davy Klaassen memberikan Belanda kemenangan 2-0 ke atas juara Afrika Senegal kelmarin ketika finalis yang ditewaskan tiga kali itu kembali ke Piala Dunia.

Tanpa bintang Senegal yang cedera, Sadio Mane sementara Belanda tanpa ancaman dalam barisan serangan mereka, Memphis Depay dari permulaan, pertemuan Kumpulan A di Doha nampaknya akan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Tetapi apabila perlawanan berbaki enam minit, penyerang PSV Eindhoven, Gakpo mara ke hadapan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy untuk menanduk masuk hantaran silang Frenkie de Jong.

Pemain pengganti, Klaassen kemudian memastikan kemenangan dalam masa kecederaan, menjaringkan gol selepas Mendy menafikan cubaan Depay, yang juga diturunkan dari bangku simpanan.

“Saya ada perasaan bahawa kami akan menjaringkan gol,” kata Van Gaal, yang dalam tahun ketiga sebagai jurulatih pasukan kebangsaan.

“Ia kemenangan yang cekap tetapi saya juga fikir kami lebih cergas kerana setiap dua minit pemain Senegal terbaring di atas tanah.

“Jadi saya fikir ia satu kemenangan yang wajar walaupun bagi saya ia bukan penampilan yang baik daripada kami.”

Keputusan itu mengangkat Belanda ke tangga teratas kumpulan dengan Ecuador, yang sudah menewaskan tuan rumah Qatar 2-0 dalam perlawanan pembukaan kejohanan pada Ahad.

Pasukan Van Gaal menentang Ecuador pada hari Jumaat, manakala Senegal kini mesti menang menentang Qatar.

Senegal menyaksikan bintang Bayern Munich Mane – yang menduduki tempat kedua di Ballon d’Or tahun ini – menarik diri daripada skuad kerana kecederaan kaki pada malam sebelum kejohanan.

Ketiadaannya jelas dirasai apabila pertandingan di Stadium Al Thumama, yang dimainkan dengan diiringi bunyi gendang dan tarian sokongan Senegal.

“Saya tidak fikir markah itu mencerminkan permainan yang sebenar dan saya sangat berbangga dengan anak-anak saya,” tegas jurulatih Senegal Aliou Cisse, yang menyaksikan kedua-dua Abdou Diallo dan Cheikhou Kouyate mengalami kecederaan pada separuh masa kedua.

Pemain tengah Everton, Idrissa Gana Gueye paling hampir berjaya menjaringkan gol untuk Senegal menerusi sepakan dari sudut kotak yang ditepis oleh penjaga gol Belanda, Andries Noppert pada minit ke-73.

Noppert, penjaga gol gergasi Heerenveen yang membuat penampilan sulung antarabangsanya, juga cemerlang dengan menyelamatkan cubaan Boulaye Dia dan Pape Gueye ketika Belanda bermain perlawanan Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh lapan tahun.

“Ia impian zaman kanak-kanak untuk saya bermain di Piala Dunia tetapi saya tidak pernah terfikir ia akan menjadi kenyataan,” kata Noppert, yang berusia 28 tahun, kepada berita Belanda, NOS.

Pasukan Oranje itu pernah mara ke separuh akhir di Brazil pada 2014 di bawah kendalian Van Gaal sebelum gagal melayakkan diri ke Piala Dunia Rusia pada 2018.

Pasukan Belanda diketuai oleh Virgil van Dijk, yang membuat penampilan antarabangsa yang ke-50nya.

Diiringi Matthijs de Ligt dan Nathan Ake, mereka selesa di bahagian belakang dan mencipta sedikit serangan sebelum penyerang Barcelona Depay  — yang menjaringkan 12 gol dalam pusingan kelayakan — turun padang pada separuh jam terakhir.

Depay tidak dapat bermula selepas dua bulan diketepikan, kini bekas penyerang Tottenham Hotspur, Vincent Janssen diharapkan untuk menerajui serangan Belanda tetapi dia gagal memberi impak besar.

Gakpo akhirnya memecah kebuntuan dan, ketika Senegal mencari gol penyamaan, Depay memainkan peranannya untuk jaringan pemain tengah Ajax, Klaassen yang meraih mata pada minit kesembilan masa tambahan. — AFP 

Advertisement