Anda di sini

162 maut gempa bumi 5.6 gegar Indonesia

Advertisement

Jumlah mangsa bencana alam itu dijangka meningkat tatkala ramai lagi cedera dan hilang  

Penduduk setempat membantu kakitangan perubatan menguruskan mayat mangsa gempa bumi di hospital di Cimacan, Cianjur kelmarin. — Gambar AFP 
Penduduk setempat membantu kakitangan perubatan menguruskan mayat mangsa gempa bumi di hospital di Cimacan, Cianjur kelmarin. — Gambar AFP 

CIANJUR: Gempa bumi cetek berukuran 5.6 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya 162 orang, dengan ramai yang cedera dan hilang, ketika ia merobohkan beberapa bangunan dan mengakibatkan tanah runtuh di pulau Jawa di Indonesia kelmarin, menurut pihak berkuasa.

Para doktor merawat pesakit luar selepas gempa bumi, yang telah dirasai sehingga ke ibu kota Jakarta, menyebabkan beberapa hospital di pekan Cianjur di Jawa Barat mengalami gangguan bekalan elektrik selama beberapa jam.

“Saya dengan rasa kesal memaklumkan bahawa 162 orang maut. Seramai 326 lagi cedera dengan kebanyakannya mengalami patah tulang akibat ditimpa dalan runtuhan,” Ridwan Kamil, gabenor di wilayah Jawa Barat yang teruk terjejas, memberitahu sidang media dalam rakaman video yang dilihat oleh AFP. 

Beliau menyatakan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak.

Adam, jurucakap bagi pentadbiran tempatan di pekan Cianjur, yang seperti ramai rakyat Indonesia lain hanya dikenali dengan satu nama, mengesahkan angka tersebut kepada AFP.

Agensi mitigasi bencana negara Indonesia, BNPB, masih menyenaraikan angka seramai 62 orang. Disebabkan oleh kesilapan kiraan, pihak berkuasa menawarkan angka kematian yang tidak menentu selepas nahas di stadium Indonesia pada bulan lepas.

BNPB menyatakan 25 orang masih terperangkap di bawah runtuhan ketika misi menyelamat berterusan sepanjang malam.

Agensi tersebut berkata lebih 2,000 rumah mengalami kerosakan sementara Kamil menyatakan lebih 13,000 orang sudah dibawa ke pusat pemindahan.

“Anda dapat melihat sendiri, beberapa orang yang menerima jahitan di kepala dan kaki mereka di luar bangunan. Sebahagian lagi berada dalam keadaan tertekan dan mula menangis,” jelas Kamil.

Kamil berkata bekalan elektrik telah kembali semula secara berperingkat pada waktu petang, tanpa menjelaskan sekiranya dengan cara menggunakan generator atau sambungan pada grid tenaga.

Gempa bumi pada tengah hari itu berpusat di wilayah Cianjur dan pihak berkuasa tempatan sebelum itu menyatakan seramai 700 orang tercedera, memberikan amaran bahawa angka kematian mungkin akan terus meningkat.

“Kerana masih terdapat ramai orang yang terperangkap di tempat kejadian, kami menjangkakan angka kecederaan dan kematian akan meningkat sepanjang masa,” kata Kamil ketika siren ambulans kedengaran di belakangnya.

Agus Azhari, 19, bersama dengan ibunya yang sudah tua di dalam rumah keluarga mereka ketika ruang tamu mereka musnah dalam masa beberapa saat sahaja, sebahagian daripada dinding dan atapnya roboh di sekeliling mereka.

“Saya segera menarik tangan ibu saya, dan kami berlari keluar,” katanya. 

“Saya mendengar orang ramai menjerit meminta tolong dari sekeliling saya,” Azhari memberitahu AFP.

Majoriti kematian telah dikira di sebuah hospital, kata ketua bagi pentadbiran tempatan Cianjur Herman Suherman yang menambah bahawa kebanyakan mangsa terkorban dalam timbunan runtuhan bangunan.

Beliau memberitahu media Indonesia bahawa hospital Sayang di pekan tersebut telah mengalami gangguan bekalan elektrik selepas gempa bumi, menyebabkan para doktor tidak dapat melakukan pembedahan ke atas mangsa dengan segera.

Lebih ramai pekerja kesihatan yang diperlukan dengan segera disebabkan oleh jumlah pesakit yang bertambah, katanya.

Penduduk tempatan menghantar mangsa ke hospital dengan menggunakan trak pikap dan menaiki motosikal, menurut rakaman yang diperolehi oleh AFP. 

Mereka telah ditempatkan di depan bangunan ketika penduduk membentang tarpaulin di atas jalan raya bagi meletakkan mayat.

Di hospital Cimacan, khemah hijau telah didirikan di luar bagi menyediakan rawatan sementara.

Ramai mangsa yang tiba dalam keadaan berlumuran darah, sementara ibu bapa mencari anak-anak mereka.

Kamil berkata beberapa kejadian tanah runtuh telah memutuskan jalan raya ke beberapa kawasan dan jentera jentolak telah digunakan untuk membukanya semula.

Beberapa kedai, sebuah hospital dan sebuah madrasah Islam di pekan itu mengalami kerosakan teruk, lapor media Indonesia.

Bangunan yang roboh dan serpihan berselerakan di sepanjang jalan di Cianjur. Pekan itu terletak di sebuah kawasan bukit di mana banyak rumah yang dibina dengan campuran lumpur dan konkrit.

“Ambulans terus datang. Terdapat banyak keluarga di kampung-kampung yang masih belum dipindahkan,” kata Suherman.

Ketua polis Cianjur Doni Hermawan memberitahu Metro TV bahawa pihak berkuasa telah menyelamatkan seorang wanita dan seorang bayi dari tanah runtuh namun mangsa ketiga yang mereka temui telah meninggal dunia akibat kecederaannya.

Presiden Perancis Emmanuel Macron merupakan pemimpin dunia pertama yang menyampaikan ucapan takziah.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau turut menghantar ucapan takziah dan berkata Ottawa “bersedia untuk membantu dalam apa cara sekalipun.”

Presiden Indonesia Joko Widodo masih belum memberikan sebarang respons terhadap kejadian gempa bumi.

Agensi meteorologi Indonesia menyatakan ia telah merekodkan 62 gegaran susulan di Cianjur selepas gempa bumi, dengan magnitud meliputi daripada 1.8 hingga 4.

Tidak ada laporan mengenai korban jiwa atau kerosakan teruk di Jakarta, kira-kira tiga jam perjalanan.

Indonesia sering mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap disebabkan kedudukannya dalam “Lingkaran Api” Pasifik, di mana plat tektonik bertembung. — AFP
 

Advertisement