Anda di sini

PN terima satu lagi Surat Akuan Berkanun sokong Muhyiddin jadi Perdana Menteri

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menerima satu Surat Akuan Berkanun daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Pengerusi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi kenyataan ringkas berkata Surat Akuan Berkanun itu telah dihantar ke Istana Negara pagi ini.

Semalam, Hamzah memaklumkan jumlah surat akuan yang dihantar melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua parti politik dan gabungan parti politik mempunyai tempoh sehingga 2 petang ini untuk mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah gabungan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri.

PRU15 Sabtu lepas berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan PN memperoleh 73 kerusi Parlimen; Pakatan Harapan (82); Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. - Bernama 

Advertisement