Anda di sini

PKR Baram akan teliti faktor kekalahan pada PRU15

Advertisement
Roland
Roland

MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneliti beberapa faktor yang menyebabkan kekalahan mereka di Baram pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam dan akan menentukan apakah tindakan seterusnya yang perlu diambil.
    
Pengerusi PKR Sarawak, Roland Engan dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, berkata Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR di Baram akan berusaha meneliti faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan mereka di kerusi Parlimen Baram pada PRU15 kali ini.
    
Pada masa sama katanya, mereka juga akan meneliti apakah tindakan seterusnya yang harus diambil.
    
"Ini termasuk mengambil kira notis-notis tertentu yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga keadaan yang berlaku semasa pilihan raya ini, kempen dan semuanya.
    
"Kita akan meneliti semula semua faktor yang berkaitan dan melakukan analisa serta menentukan apakah bentuk tindakan yang paling sesuai untuk diambil seterusnya," katanya.    
    
Dalam pada itu menurut Roland, walaupun tidak berjaya memenangi kerusi P.220 Baram, beliau tetap berbangga kerana sokongan terhadap PH masih meningkat apabila memperolehi undi sebanyak 11,060 pada PRU15 yang melabuhkan tirai semalam berbanding 10,181 undi pada PRU 2018.
    
"Ini bermakna sokongan yang diberikan oleh rakyat di Baram kepada PH semakin meningkat cuma jumlah undi yang kita perolehi semalam tidak cukup untuk kita menang di kerusi P.220 Baram," ujar beliau lanjut.
    
Sehubungan itu, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua penyokong, pengundi dan juga aktivis PH kerana telah bertungkus-lumus dan bekerja keras sepanjang tempoh kempen sehingga ke hari mengundi.
    
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada para penyokong lain yang tidak sempat turun mengundi disebabkan beberapa faktor yang tidak mengizinkan seperti cuaca, banjir, jalan rosak dan sebagainya kerana mereka semua juga perlu memikirkan keselamatan diri masing-masing.
    
"Justeru saya menyeru kepada semua penyokong dan rakyat di Baram supaya kembali menjalin persahabatan dan persaudaraan serta melupakan semua kata-kata yang kasar, kesat dan menyinggung perasaan satu sama lain.
    
"Kembalilah mengekalkan hubungan yang baik dan muhibah seperti sediakala," katanya.
    
Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Anyi Ngau yang telah memenangi kerusi Parlimen Baram semalam.
    
Pada PRU15 yang berakhir semalam, Anyi memperolehi undi sebanyak 18,399, manakala Roland (11,060) dan calon Bebas Wilfred Entika Rebai (324).

  • oleh
  • Advertisement