Anda di sini

GPS serah kebijaksanaan Agong untuk lantik Perdana Menteri 

Advertisement
 


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak hari ini, GPS turut mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah, mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

"Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara," kata kenyataan.

GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

GPS merupakan gabungan empat parti terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini. 

  • oleh
  • Advertisement