Anda di sini

Daripada guru menjadi Menteri Besar Perlis

Advertisement
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bergambar selepas mengurniakan watikah pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu kepada Mohd Shukri pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau hari ini. - Gambar Bernama 
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bergambar selepas mengurniakan watikah pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu kepada Mohd Shukri pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau hari ini. - Gambar Bernama 

ARAU: Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli yang dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu hari ini aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktiviti kemasyarakatan sebelum dilantik ke jawatan penting itu.

Mohd Shukri, 61, menjadi Penaung Pertubuhan Kebajikan Komuniti Arau (PEKA), Penaung Sanglang Care dan Pengurus Pasti Lukmanul Hakim, Sungai Padang.

Mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’, pemegang Diploma Pendidikan dari Insititut Perguruan Rajang, Sarawak itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Dato’ Ahmad Musa, Sungai Padang dan pernah berkhidmat sebagai guru selama 28 tahun bermula pada 1985.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu pernah bertugas di Sarawak iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Beraya, Miri dan SK Pulo, Kuching sebelum kembali berbakti di Perlis di SK Padang Keria, Simpang Empat pada 1990.

Antara kerjaya dalam politik yang masih disandang oleh beliau ialah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) Negeri Perlis, Pengerusi Bersama Muafakat Nasional, Ketua Penerangan PAS Perlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang selama tiga penggal sejak 2013.

Hasil perkahwinan beliau dengan Najwa Othman, 56, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat lelaki dan dua perempuan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, Mohd Shukri berjaya mempertahankan kerusi DUN Sanglang dengan majoriti 3,335 undi menewaskan Zainuddin Yom (Warisan), Ahmad Fadzhil Mohamad (PH-PKR) dan Sharipudin Ahmad (BN-UMNO).  

Berikut ialah biodata Mohd Shukri: 

Nama: Mohd Shukri Ramli

Tarikh lahir: 6 Feb 1961 (umur 61 tahun)

Status: Berkahwin, enam orang anak 

Nama Isteri: Najwa Othman

Nama panggilan: Cikgu Shukri

Kerjaya 

1. ADUN Sanglang

2.Pesara guru (1985-2013) – 28 tahun sebagai guru

Jawatan dalam Politik

1.Pengerusi Perikatan Nasional Perlis

2.Pesuruhjaya PAS Perlis

3.Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) Negeri Perlis

4.Pengerusi Bersama Muafakat Nasional

5.Ketua Penerangan PAS Perlis

6.ADUN Sanglang selama 3 penggal sejak 2013

Pendidikan

1.Institut Perguruan Rajang, Sarawak (1982-1984)

Penglibatan Sosial

1.Penaung Pertubuhan Kebajikan Komuniti Arau (PEKA)

2.Penaung Sanglang Care

3.Pengurus Pasti Lukmanul Hakim, Sungai Padang

-- Bernama

Advertisement