Anda di sini

Rusuhan terkini di penjara Ecuador ragut sembilan nyawa

Advertisement
Gambar serahan pihak berkuasa penjara SNAI menunjukkan anggota keselamatan berkawal semasa operatif di penjara Pichincha 1 di Quito, Ecuador kelmarin. — Gambar AFP 
Gambar serahan pihak berkuasa penjara SNAI menunjukkan anggota keselamatan berkawal semasa operatif di penjara Pichincha 1 di Quito, Ecuador kelmarin. — Gambar AFP 

QUITO: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut kelmarin dalam rusuhan penjara yang terkini melanda Ecuador yang dibelenggu keganasan, di mana kira-kira 400 banduan telah terbunuh sejak tahun lepas, kata pejabat pendakwa raya.

Rusuhan meletus di penjara El Inca di utara ibu negeri Quito, kata pejabat tersebut di Twitter, sambil menambah satu operasi sedang dilakukan “bagi mengeluarkan mayat”.

Pihak berkuasa penjara SNAI dalam satu kenyataan meletakkan angka kematian pada lapan banduan.

Pengumuman muncul hanya beberapa jam selepas kerajaan menyatakan ia telah memindahkan dua banduan, yang ia syaki sebagai dalang utama di sebalik gangguan di penjara sebelum ini, ke sebuah penjara kawalan ketat.

Salah seorang daripadanya, ketua geng Los Lobos Jonathan Bermudez, telah bertanggungjawab bagi rusuhan sebelum ini di El Inca, menurut satu kenyataan dari pejabat presiden.

“Kami memberitahu mereka bahawa kami tidak akan goyah,” kata Presiden Guillermo Lasso mengenai pemindahan itu di Twitter kelmarin, memberikan amaran mengenai “nasib yang sama bagi mereka yang terus dengan cubaan mereka untuk mengganggu ketenteraman rakyat Ecuador.”

Dalam ciapan lain, presiden menghantar gambar menunjukkan banduan dengan tangan mereka diikat dan beberapa orang lagi meniarap di laman dan koridor penjara.

SNAI menyatakan bahawa “anggota pertubuhan jenayah ini (Los Lobos) melakukan serangan balas kejam” bagi penempatan semula Bermudez ke penjara lain.

“Kami akan terus untuk bertindak tegas dan tanpa tangguh bagi menangani jenayah terancang, yang mengancam keselamatan dan keamanan penduduk Ecuador,” tegasnya.

Pada awal bulan ini, kerajaan Lasso telah memindahkan kira-kira 2,400 banduan, mencetuskan pemberontakan oleh anggota kumpulan yang melakukan serangan tembakan dan meletupkan bom kereta di stesen gas serta balai polis.

Lapan orang, termasuk lima anggota polis, terkorban ketika serangan di bandar pelabuhan Guayaquil.

Lasso memberikan respons kepada serangan itu dengan mengumumkan perintah darurat serta perintah berkurung pada waktu malam di Guayas, Esmeraldas dan Santa Domingo de los Tsachilas. — AFP

Advertisement