Anda di sini

PH, BN bentuk kerajaan Perak

Advertisement
Kenderaan yang membawa Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilihat memasuki pekarangan Istana Kinta hari ini bagi menghadap Sultan Perak sultan Nazrin Shah berhubung pembentukan Kerajaan Negeri. -Gambar Bernama
Kenderaan yang membawa Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilihat memasuki pekarangan Istana Kinta hari ini bagi menghadap Sultan Perak sultan Nazrin Shah berhubung pembentukan Kerajaan Negeri. -Gambar Bernama

IPOH: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk bersama-sama membentuk kerajaan negeri di Perak.

Pengerusi BN Perak yang juga Pengerusi UMNO negeri Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau dan Bendahari DAP Perak Howard Lee Chuan How telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan menyembah maklum persetujuan kedua-dua gabungan mengenai perkara itu.

“Itu yang kami persembahkan dan terpulang kepada Tuanku sama ada baginda yakin dan setuju perkenan dengan cadangan penubuhan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini hari ini.

Ini susulan tiada gabungan yang memperoleh majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan. 

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi PKR negeri Muhamad Arafat Varisai Mahamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Terdahulu dalam kenyataan bersama, PH dan BN Perak bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri.

“BN dan PH secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang telah diadakan pada 19 Nov 2022.

“Demi kepentingan rakyat dan negara, BN dan PH Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi dalam kenyataan video berkata langkah itu akan membentuk kerajaan negeri yang stabil sebagai memenuhi hasrat kebanyakan rakyat yang ingin melihat kerajaan baharu yang berjaya mentadbir negeri.

Keputusan PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 26 kerusi DUN manakala PH pula menawan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS. - BERNAMA
 

Advertisement