Anda di sini

Pesta Nanas Sarikei jangka tarik 100,000 pengunjung

Advertisement
(Duduk, dari tiga kiri) Len dan Tan bersama wakil agensi yang terlibat dengan penganjuran Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei 2022 merakam gambar bersama sejurus selesai bermesyuarat baru-baru ini.
(Duduk, dari tiga kiri) Len dan Tan bersama wakil agensi yang terlibat dengan penganjuran Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei 2022 merakam gambar bersama sejurus selesai bermesyuarat baru-baru ini.

SARIKEI: Dijangkakan 100,000 pengunjung akan membanjiri Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei 2022 yang dijadualkan bermula 26 November hingga 4 Disember depan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, kali terakhir penganjurannya iaitu pada 2019 sebelum negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei mencatat 80,000 pengunjung.

"Berdasarkan tarikh penganjuran yang sesuai tersebut kita yakin jumlah pengunjung ke Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei 2022 akan meningkat lagi pada tahun ini.

"Sebanyak 229 reruai akan dibuka dan disediakan pada Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei 2022 kali ini.

"Kita juga menyasarkan jumlah pendapatan yang bakal diperolehi para peniaga dan usahawan yang bakal terlibat dalam pesta ini nanti akan mencecah RM1 juta," kata Len.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei 2022 di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sarikei baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Residen Bahagian Sarikei Felicia Tan Ya Hua.

Menurut Len, pelbagai program telah dirancang akan dianjurkan bagi memeriahkan lagi pesta kali ini.

"Antara program tersebut ialah pameran oleh agensi kerajaan dan pihak swasta, pembukaan kaunter perkhidmatan, pameran pendidikan, pertandingan, aktiviti sukan dan rekrasi, persembahan kebudayaan dan banyak lagi aktiviti lain.

"Kita berharap penganjuran pesta ini akan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan ini, di samping mengeratkan lagi hubungan di antara masyarakat dengan agensi kerajaan yang turut serta pada pesta ini nanti," ujarnya.

Tambah Len, dalam memantapkan lagi usaha untuk menjadikan kawasan ini sebagai pembekal makanan utama atau 'Food Basket of Sarawak', Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti kawasan di seberang bandar untuk dimajukan dengan projek taman agro yang kedua di kawasan ini.

Kini katanya, kerajaan sedang melakukan proses penilaian dan pelaksanaan beberapa fasa untuk projek tersebut.

"Projek ini adalah projek jangka panjang dan lokasi yang dikenal pasti tersebut adalah seluas 4,000 hektar.

"Kawasan tersebut terletak di antara Muara Payang hingga ke Bukit Huang dan ia adalah susulan projek pembinaan jalan dan jambatan dari Sarikei menuju ke Tanjung Manis.

"Fasa pertama iaitu peruntukan untuk pembinaan jalan, ban dan kemudahan lain yang berkaitan telah diluluskan dan kini fasa seterusnya ialah melibatkan pengambilan tanah sedang dalam proses kerana ia memerlukan masa serta kos yang tinggi dan akan dilakukan secara peringkat demi peringkat," ujar Len.
 

  • oleh
  • Advertisement