Anda di sini

Penubuhan pusat penyelidikan tingkat pembangunan ekonomi

Advertisement

RM20 juta diperuntuk bagi pembinaan Pusat Sains, pacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang

 

"Kerajaan negeri sedang menubuhkan Pusat Sains untuk meningkatkan literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah, belia dan masyarakat serta menggalakkan budaya inovasi.” 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Premier Sarawak 

KUCHING: Sejumlah RM20 juta akan diperuntukkan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan Pusat Sains pada 2023 sekali gus akan memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, pelaksanaan pusat itu berdasarkan kepada Teras Strategik Kesepuluh yang menekankan kepada promosi penyelidikan dan pembangunan, sains dan teknologi serta inovasi.

"Kerajaan negeri sedang menubuhkan Pusat Sains untuk meningkatkan literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah, belia dan masyarakat serta menggalakkan budaya inovasi.

"Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta inovasi ini penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang," katanya ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN hari ini.

Selain itu, bagi menggalakkan R&D dan pengkomersilan produk berasaskan bio, kerajaan negeri menyediakan sejumlah RM2 juta untuk penubuhan Taman Industri Bio Sarawak pada 2023.

Katanya, projek itu akan mewujudkan ekosistem untuk inovasi dan pengkomersilan. 

"Inisiatif ini juga akan membolehkan Sarawak memanfaatkan kekayaan bioteknologi global dan memanfaatkan kekayaan biodiversiti di Sarawak," tambah beliau.

Dalam pada itu, pandemik COVID-19 memberi pengajaran bahawa terdapat keperluan mendesak bagi Sarawak untuk menangani jurang dalam kesiapsiagaan menghadapi pandemik dan wabak masa depan.

"Ke arah ini, kerajaan akan menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak untuk memacu pembangunan industri bioperubatan dan bioteknologi dan memacu pembangunan modal insan dalam sains bioperubatan. 

"Sejumlah RM191 juta untuk keseluruhan pelaksaan projek itu, di mana RM20 juta dijangka dibelanjakan pada 2023," katanya.

Selain itu, beliau menambah kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM8 juta kepada Majlis Penyelidikan dan  embangunan Sarawak untuk menyokong aktiviti R&D dan inovasinya pada 2023.

Abang Johari menambah, kerajaan akan meneruskan inisiatif untuk memulihara, melindungi dan mengurus sumber Sarawak secara mampan.

"Kerajaan turut komited untuk mengekalkan 60 peratus kawasan daratan sebagai perlindungan hutan. 

"Usaha memulihara dan mempromosikan biodiversiti sebagai modal semula jadi akan membuka jalan kepada lebih banyak aliran masuk pelaburan ke Sarawak," katanya.

Ini sekali gus menjana lebih banyak pemuliharaan hijau dan peluang perniagaan untuk memacu ekonomi negeri dengan cara yang mampan.

Selain itu, pada 2023 sejumlah RM21 juta akan diperuntukkan kepada Pusat Biodiversiti Sarawak untuk mempromosikan R&D dalam biodiversiti.
 

  • oleh
  • Advertisement