Anda di sini

BN mohon sedikit masa berhubung kerjasama dengan PH: Anwar

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memohon sedikit masa sebelum membuat keputusan berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, kata Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).

“Kita juga telah meneliti kenyataan BN bahawa mereka akan membuat keputusan secara satu pasukan dan blok serta semua tandatangan yang dibuat sebelum itu terbatal,” katanya pada sidang media selepas perbincangan dengan wakil BN di sini hari ini.

Anwar berkata BN juga bersetuju menamakan beliau sebagai Perdana Menteri berdasarkan perbincangan yang telah berlangsung.

Calon Perdana Menteri bagi PH itu berkata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak menetapkan sebarang syarat termasuk menggugurkan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Beliau turut menyifatkan kerjasama BN dan PH dalam membentuk Kerajaan Negeri Perak sebagai permulaan positif kerana ia menunjukkan kedua-dua gabungan politik itu mampu bekerjasama.
 
Ketika ditanya mengenai kebencian yang diuar-uarkan oleh PH terhadap BN semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar yang mengakui perkara itu bagaimanapun berkata PH masih memerlukan sokongan parti lain untuk membentuk Kerajaan Persekutuan memandangkan tiada pihak yang memperoleh majoriti mudah.

PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pilihan raya pada 19 Nov itu menyaksikan PH memenangi 82 kerusi Parlimen diikuti Perikatan Nasional (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Bebas (2) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan ialah 112 kerusi. - BERNAMA
 

Advertisement