Anda di sini

Biar individu diyakini majoriti Ahli Parlimen jadi PM

Advertisement

Ketika ini proses mencari Perdana Menteri nampaknya menemui jalan buntu, kata Abdul Karim 

 

“Jika hanya pemimpin setiap gabungan yang terlibat, maka mungkin wujud kes seperti beberapa Ahli Parlimen diperas atau dipaksa membuat keputusan di luar kehendak mereka sendiri (mengenai siapa yang mereka mahu sebagai Perdana Menteri).” 

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan

Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Cara terbaik untuk menentukan Perdana Menteri Malaysia adalah untuk Yang di-Pertuan Agong mengetahui individu mana yang mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan seterusnya, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ini kerana menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu, ketika ini proses mencari Perdana Menteri nampaknya menemui jalan buntu.

“Jika hanya pemimpin setiap gabungan yang terlibat, maka mungkin wujud kes seperti beberapa Ahli Parlimen diperas atau dipaksa membuat keputusan di luar kehendak mereka sendiri (mengenai siapa yang mereka mahu sebagai Perdana Menteri).

“Saya pernah mendengar kes sebegini sebelum ini,” tambahnya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Abdul Karim, semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan, beliau telah dilantik selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua Ahli Parlimen memberikan Akuan Berkanun (SD) siapa yang mereka mahu menjadi Perdana Menteri.

Oleh itu, ia mungkin menjadi hak untuk berbuat demikian sekarang kerana tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan berikutan berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu lepas.

"Walaupun proses itu mengambil masa yang agak lama, ia berkesan untuk Ismail Sabri. Kenapa tidak kita buat sekali lagi kali ini?" katanya.

Malaysia kini terlibat dalam proses untuk memilih Perdana Menteri selepas PRU15 dan tiada satu pun gabungan yang terlibat dalam pilihan raya itu mampu memperoleh majoriti mudah.

Pemimpin setiap gabungan juga dilihat bertemu dan menghubungi satu sama lain untuk membentuk pakatan bagi membentuk kerajaan persekutuan, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi tempoh lanjutan sehari lagi kepada pemimpin parti dan ketua gabungan untuk tarikh akhir mencadangkan calon Perdana Menteri mereka.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pegawai Pengawal Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, parti politik kini mempunyai tempoh sehingga jam 2 petang ini.

“Baginda telah menerima dan memperkenankan permintaan yang dibuat oleh pemimpin parti dan ketua gabungan (untuk pelanjutan).

“Selaras dengan itu, Seri Paduka menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bertenang dan bersabar sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan Perdana Menteri ke-10 selesai,” kata kenyataan itu.
 

Advertisement