Anda di sini

Apa yang Dicari dalam Sastera?

Advertisement
 


Oleh Roslan Jomel

Pengarang yang baik adalah pengarang yang dapat menciptakan tradisi. Tapi tunggu dulu. Untuk dapat menciptakan tradisi, seorang pengarang tentu mempunyai gagasan yang asli. Ketahuilah, tradisi hanya dapat dicipta dengan gagasan-gagasan demikian. Kecuali itu, pengarang ini juga mempunyai keperibadian yang kuat. Tanpa keperibadian yang kuat, pengarang hanya mampu menulis kata-kata yang akhirnya tanpa makna.” – Budi Darma, petikan esei “Para Pencipta Tradisi”, dari buku Solilokui.

 


    Tanpa dijangka, saya telah berkesempatan untuk bersemuka dengan tokoh penyair yang terkenal pada suatu ketika dahulu. Sasterawan veteran. Bahkan pernah mempengaruhi lenggok gaya penulisan saya. Apakah tujuan kemunculannya semula dalam dunia persuratan kini? Rekod prestasi dan pencapaian silam, tidak boleh dijadikan sandaran untuk membangga-banggakan diri. Ramai penulis generasi baharu, jika pun tidak semuanya, mencapai kematangan dalam pengkaryaan. Lalu, bagaimanakah sasterawan veteran itu hendak meletakkan kehadirannya semula? Sebahagian sasterawan lama seakan-akan sudah tidak wujud lagi dalam arus sastera mutakhir. Jika pun masih berkarya, ketara, tema yang diangkat ke dalam naskhah, sudah ketinggalan zaman dan masih mengekalkan gaya dan ungkapan lama. Malahan, dalam kalangan mereka, gagal untuk mengekalkan kekuatan yang pernah ada dalam kerja kepengarangan dahulu. Audiens sastera semakin sofistikated.
    Memang media massa masih membuka ruang kepada karya kreatif. Saban tahun, nama-nama baharu dan sudah biasa didengar sejak dahulu, kerap mengirimkan karya. Disiar pada hari Ahad dan dilupakan sahaja pada hari Isnin. Majoriti masyarakat kini tidak memberikan perhatian, sama ada karya sastera wujud atau tidak dalam akhbar. Itu bukan topik kehidupan pada masa kini. Demikian juga kepada karya-karya yang memenangi hadiah utama sayembara bernilai lumayan di peringkat kebangsaan. Selepas sijil diambil dari atas pentas, pemenang itu balik rumah, membancuh kopi dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Hanya cek dan nama mereka terpampang di halaman akhbar. Sungguh sukar untuk membaca kritikan dan ulasan ke atas karya-karya penerima hadiah sastera pada masa kini. Hal itu tentu mengusik nurani sasterawan veteran yang mahukan kehadirannya semula diperhatikan saksama.
    Sehebat mana pun seseorang pengarang menulis dalam pelbagai genre, belum tentu diberi laluan permaidani merah untuk menggapai apa-apa yang dihajatinya. Ada halangan dan birokrasi absurd yang bakal menguncinya. Misalnya, pandangan politik, pendirian yang berbeza dan kritikan tidak menyenangkan ke atas individu-individu besar. Hal-hal sebegitu memungkinkan pengarang terbabit akan hilang daripada radar kesusasteraan. Belum lagi berasa tersentuh secara emosional kerana berlaku hal-hal integriti yang bertentangan dengan kemahuan prinsipnya dalam kerja penulisan. Sebagai orang seni, mereka sudah tentu tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehendak-kehendak yang berbeza dimahukan oleh pihak-pihak tertentu. Seniman yang merdeka, ialah manusia yang tidak mahu diperhambakan oleh mana-mana agenda berkepentingan. Tetapi tidak bagi penulis. Sesiapa sahaja berkelayakan menjadi penulis. Asalkan pandai menaip. Penulis boleh menjadi apa-apa sahaja (bahkan mampu menulis dalam pelbagai genre) demi mencapai objektif mereka dalam bentuk pulangan material. Soal keaslian dalam idiosinkrasi, bukan perkara besar untuk mereka fikirkan. Sebentar menjadi eksperimentalis, sekejap umpama moralis.
    Bahkan saya bersahabat dengan seorang penulis muda sensasi awal 90-an dahulu yang terkenal dengan penulisan keras dan berbeza daripada gaya arus utama. Tulisan-tulisannya memancarkan keluasan pembacaan pada usia muda lagi. Tidak terbayang berapa jumlah buku dalam kediamannya. Daripada sumber bacaan yang serius dan merangsang pemikiran, pengarang muda sensasi yang mencipta gelombang baharu penulisan itu, terus menghasilkan karya-karya mendobrak. Saya mengikuti dengan rapat setiap karya dan penulisan eseinya. Terdetik rasa cemburu dalam kalbu saya, pengarang semuda itu mampu menulis tema-tema berat dan rumit tentang budaya, sahsiah, psikologi dan agama dalam bentuk karya kreatif. Namun, apakah yang terjadi selepas namanya naik mendadak? Apa yang diperoleh setelah karya-karya anak muda itu disanjung oleh para sarjana sastera dan pembaca? Tahun demi tahun berganti. Penulis muda itu kini terasing daripada lingkaran sastera masa kini. Demikian, kedua-dua penulis berbeza generasi itu sudah semakin tidak diperkatakan lagi. Jalan untuk mereka berdua pergi jauh ke horizon sastera, berhenti di tembok.
    Kembali kepada penyair veteran yang disebutkan awal tadi. Tidakkah beliau maklum, bahawa situasi sastera, (masalah dan penyakitnya) dari dahulu dan sekarang, masih sahaja serupa. Sasterawan bukanlah insan istimewa, yang kononnya berjiwa halus dan berbudi pekerti (walaupun tidak semua). Mereka tetap sahaja mamalia biasa. Penyair veteran itu tidak terkecuali. Beliau yang begitu teliti menjaga kualiti penulisan, hanya memiliki dua buah buku kumpulan sajak. Setelah bergelumang dalam dunia sastera selama 30 tahun, baharulah penyair itu berani menerbitkan kumpulan sajaknya. Karya-karya beliau memang tidak banyak (kecemerlangannya dalam penulisan sajak diiktiraf menerusi hadiah sastera kebangsaan dan sebuah sayembara berprestij), tetapi menakjubkan. Kesannya mencengkam secara emosi dan akliah. Asli. Tidak dibuat-buat. Walhal penggunaan bahasa beliau sangat harian sifatnya. Tidak sebagaimana karya-karya mentah dihasilkan sebahagian penulis masa kini yang memusingkan kepala. Di mata kawan-kawan mereka, tahap kehebatan karya yang ditulisnya sudah mencecah ruang langit. Itulah yang dinamakan sindrom syok sendiri. Lebih malang lagi apabila dinilai oleh juri yang dangkal cita rasa sasteranya. 
    Beliau yang saya temui, sedang berbicara tentang riwayat kepenyairannya di depan skrin kamera untuk rakaman siaran langsung. Berseluar jean lusuh dengan kemeja berjenama mahal. Dahulu rambutnya panjang (sebagaimana seniman antipembangunan), kini sudah botak. Penyair era 80-an itu cukup dikenali dengan sajak-sajak bernada renungan falsafah kerohanian, pekat dengan unsur-unsur kemelayuan yang lembut dan diselang-seli dengan hamparan imej alam semula jadi untuk memperkuat jati dirinya sebagai insan berbudaya. Kepada peminat yang berada di luar Kuala Lumpur, acara itu boleh dilihat di media sosial. Kaki tangan penerbit yang bertanggungjawab menghadirkan tokoh penyair itu semula ke persada sastera, berasa bangga kerana telah menyelamatkan khazanah hidup yang selama ini tersorok. Sebuah buku yang menghimpunkan sajak-sajak lama beliau dicetak, dan menurut khabar yang saya dengar, buku tersebut mendapat perhatian daripada penulis generasi baharu. Dan itu menguntungkan pihak penerbit. Adakah beliau berasa bangga dengan keadaan itu lalu kembali cergas mengarang sajak-sajak baharu?
    Namun sebelum acara kehadiran semula tokoh penyair itu di pesta buku, saya pernah membaca sebuah artikel tentang kehilangan sasterawan tersebut di ranah kesusasteraan tempatan. Tulisan itu ringkas dan pendek, tetapi penting untuk dihayati oleh para penulis. Sebagaimana kehidupan manusia, sastera juga mengandungi lapisan-lapisannya tersendiri. Apa yang indah dan mempesonakan mata penikmat karya sastera, hanyalah apresiasi secara luaran.  Artikel yang juga disumbangkan oleh penulis terkenal itu, terbit dalam talian dan saya percaya ramai yang membacanya kerana nama tokoh itu sangat berpengaruh, sebagaimana impak mistik A. Latiff Mohidin dalam perkembangan sajak kebangsaan, selain deretan penyair yang sudah pun mendapat anugerah Sasterawan Negara. Inti utama dalam artikel itu membongkar punca utama mengapa penyair itu enggan meneruskan kerja penulisannya. Maklumlah saya, setelah lama berkecimpung dalam bidang penulisan kreatif, sastera kita, masih berlegar-legar dengan isu yang sama (berulang-ulang).
    Tahu apa sebabnya? Bayaran. Bayaran di sini, bermaksud jumlah wang untuk upah khas kerja kepengarangan seseorang. Pengiktirafan ke atas karya, suatu hal. Manakala kadar bayaran - suatu aspek yang tidak boleh dipandang ringan. Kos hidup semakin meningkat, harga buku bertambah mahal dan tiada yang percuma untuk sebarang pekerjaan (termasuk kesenian). Jika anda rajin menyelak tulisan-tulisan lama yang dihasilkan oleh sasterawan terkemuka negara, isu tentang bayaran kepada penulis, bagaikan kudis yang terus melekat dalam dunia kesusasteraan. Paling menyedihkan, perkara demikian, terus dibangkitkan dan dipersoalkan sehingga ke hari ini. Sama ada penulis muda atau sudah mapan, ramai penulis mengeluh tentang betapa sedikitnya jumlah honorarium untuk kerja penulisan mereka. Adakah berbaloi sebuah sajak (dibaca: berkualiti) dibayar serendah RM25 dalam akhbar bertaraf kebangsaan? Lalu, untuk apa berseminar saban tahun dengan tema (alangkah dahsyatnya) mengangkat sastera tempatan hingga ke puncak dunia?
    Saya fikir, pada tahun 2020, mutu kesusasteraan kita, dalam bahasa Melayu, bertambah lebih canggih dan mampu beradaptasi dengan persekitaran serba kompleks. Para penulisnya kian tinggi cita rasa kerana kerap mengikuti perkembangan terkini kesusasteraan di peringkat dunia. Malahan berjiwa besar dan dahagakan pelbagai sumber ilmu untuk mematangkan keperibadian yang bertujuan untuk memantapkan kemahiran penulisan. Sentiasa memperbaharui pengucapan agar mendekati suasana kontemporari dengan bahasa segar, jelas dan berhubungan ke dalam sanubari pembaca. Namun, impian menggunung itu bagaikan mengait pelangi dengan hujung jari. Harus diakui dengan dada lapang, segelintir penulis kita masih tersangkut dalam mentaliti lama dan tiada haluan dalam arah penulisan. Malahan, hanya akan menulis sekiranya adanya penganjuran sayembara dan pertandingan. Objektif asasnya kita maklum, mengejar habuan dari hadiah kemenangan. Sekali lagi, isunya – tetap bertema wang. Wang, secara tidak langsung, lebih menggoda para penulis berbanding berusaha untuk meninggikan standard kepengarangannya. Itulah hakikatnya.
    Sementara penulis generasi baharu (tiada bezanya dengan sebahagian sikap pengarang veteran) masih terumbang-ambing di ranah kesusasteraan. Bak mencari ikan duyung dalam besen di bilik air rumah. Sebahagiannya terperangkap dengan pengucapan aneh dan kabur yang disangka pembaharuan dalam ekspresi. Sebahagiannya belum memiliki jati diri dalam bidang penulisan, maka, secara tidak langsung, hanya mengikuti gaya yang sudah ada oleh penulis-penulis mapan lain, tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya telah melakukan epigoni. Hal itu tentu merugikan minat dan bakat mereka. Berkarya di bawah identiti pengarang lain. Tanpa diduga, sikap inginkan kejayaan segera dan pengiktirafan ke atas karya-karya mentah mereka juga menjadi pendorong yang mematahkan kompas penulisan masing-masing. Ke manakah mereka hendak melangkah seterusnya? Para pengarang yang sudah lama menulis juga tidak membantu kerana lebih ghairah untuk menobatkan diri tanpa mempertingkatkan mutu penulisan yang sudah ketinggalan zaman. Mereka bagaikan bunga narkisus, bak kata Budi Darma. Walhasilnya, pengarang-pengarang sebegitu, secara kuantiti, hanya menambahkan angka bilangan pengkarya. Tidak lebih daripada itu. Sastera hanya sekadar medium penulisan.
    Perkembangan daya intelektual kita juga perlahan. Saiz pembacaan juga terhad. Bahkan lebih selesa dengan bahan bacaan lama yang ada depan hidung. Budi Darma mengatakan takrifan “intelektual” di sini bukan bermaksud sinonim dengan pendidikan formal tinggi, melainkan dengan sikap ingin belajar, dan jalan fikiran yang menunjukkan kemampuan berfikir yang baik. Malahan kemampuan intelektual memang merupakan salah satu syarat penting untuk menjadi penulis yang baik. Gambaran ciri-ciri sedemikian pernah saya baca menerusi buku karangan Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun. Sebagaimana kenyataan pengarang buku itu, “pada saat orang intelektual jatuh, maka orang pandir akan naik.” Kita mengalu-alukan kehadiran ramai pengarang dari pelbagai disiplin ilmu, bidang dan latar belakang sektor pekerjaan. Namun, kita juga sangat memerlukan kredibiliti unggul daripada pengarang yang berwawasan jauh, mempunyai kepekaan intelektual dan cita rasa seni yang meluas. Bukannya sekadar mengarang dan mengeluh tentang kadar bayaran kemudian mengundurkan diri kerana kecewa oleh impiannya (ganjaran material) dalam kesusasteraan. Ruang lingkup sastera kita masih tiada bezanya sejak dahulu.
    Paling mendukacitakan, tiadanya pengkritik generasi baharu yang berilmu, neutral, bebas dan tajam menganalisis karya (kawan dikenali atau sasterawan ternama). Hal ini sangat menjengkelkan. Maka, berderetlah, kononnya kritikan ke atas karya yang lebih bersifat memuji dan stereotaip pula penyampaiannya. Hal itu tidak mendatangkan kebaikan secara ilmiah dan artistik kepada perkembangan kesusasteraan. Sebuah karya yang kononnya luar biasa dan dalam renungan itu, wajar sahaja memiliki kelemahannya yang perlu didedahkan dengan bantuan ilmu dan analisis kritis. Jika tetap sahaja seragam penulisannya, natijahnya, sastera kita terus mendap bertahun-tahun lamanya. Daripada analisis dan teguran jujur yang membina, para pengkritik sepatutnya meninggikan lagi kualiti penulisan seseorang pengarang. Tetapi tidak semua sasterawan berlapang dada. Sebaliknya mudah tergores apabila kelemahan-kelemahan dalam karya mereka didedahkan ke khalayak umum. Akhirnya, tiada sesiapa yang tertarik untuk menghampiri khazanah sastera kontemporari kita. Sebaliknya masyarakat sastera antarabangsa (berkat usaha penterjemahan) lebih mengenali kesusasteraan Indonesia berbanding karya-karya kita. Sementara kita di sini, (tidak sudah-sudah dengan pembentangan kertas kerja), begitu lamban dalam kerja mengalih bahasa. Apatah lagi menterjemah karya-karya asing yang penting ke dalam bahasa Melayu. Jadi, retorik usang untuk memperkenalkan penulisan karya kreatif anak tempatan, akan terus meniti dari bibir ke bibir tokoh aktivis sastera.
    Dipendekkan cerita. Penyair veteran yang sempat saya temui itu kini kembali senyap. Dari bulan ke bulan. Saya belum lagi membaca karya terbaharunya di mana-mana majalah atau akhbar. Adakah gaya pengucapan dan lenggok kepenyairannya sudah berubah? Tidak lagi selembut bayu berpuput, tetapi keras dan bernuansa kontemporari? Kenyataan pada masa kini sudah jauh berbeza dengan senario dua puluh tahun yang lalu. Atau adakah penyair itu sudah gagal untuk menghasilkan karya yang setaraf dengan pencapaiannya terdahulu? Hal itu tentu merenyukkan keghairahannya dari dalam. Sebagaimana penulis muda sahabat saya yang pernah menggegar persada sastera kebangsaan dahulu, aduhai, dia mengakui, begitu sukar untuk membina draf pertama karya kreatif. Semangat dan keghairahannya mula menurun dan, tiada apa-apa yang indah ditawarkan dalam kerja penulisan. Bidang sastera sudah semakin aneh dan jauh daripada rutin harian kehidupannya. Lagi pula, mereka berdua, saya lihat, hidup dalam keadaan yang sempurna. Bersebati dengan norma manusia biasa. Berita-berita berbau toksik tentang kesusasteraan yang didengari oleh mereka, malahan telah menyekat untuk kembali berkarya. 
   Kepada anda, apakah yang dicari dalam sastera? Pingat darjah kebesaran? Populariti? Hidangan lima jenis dalam hotel lima bintang pada malam menerima hadiah kesusasteraan?

 
 
Advertisement