Anda di sini

Wong rakam penghargaan kepada pengundi Lanang 

Advertisement
Wong (kiri) mengucapkan terima kasih kepada pengunjung di Pasar Sentral Sibu hari ini.
Wong (kiri) mengucapkan terima kasih kepada pengunjung di Pasar Sentral Sibu hari ini.

SIBU: Bekas calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Lanang Wong Ching Yong merakamkan penghargaan kepada pengundi Lanang yang menyokongnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Menurutnya, walaupun tewas pada pilihan raya tersebut ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di sini.

"Saya dikalahkan di Parlimen Lanang semalam oleh calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Alice Lau.

"Namun saya masih perlu mengucapkan terima kasih kepada penyokong saya, pasukan saya dan ahli-ahli keluarga yang memberi sokongan tanpa putus-putus sepanjang kempen pilihan raya lalu. Anda semua adalah yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi menyantuni pengunjung di Pasar Sentral Sibu hari ini.

Beliau bersyukur dengan undi diperolehinya menunjukkan rakyat masih memerlukan GPS untuk berkhidmat.

Sementara itu, beliau menjemput Ahli Parlimen Lanang Alice Lau menubuhkan Pusat Jantung dan Kanser Satelit untuk Sibu dan memastikan sijil UEC untuk sekolah persendirian Cina diiktiraf seperti dijanjikan Pakatan Harapan (PH).

"Saya mengucapkan tahniah kepada Alice dan berdoa agar beliau sentiasa diberkati bersama keluarganya sepanjang menjadi wakil rakyat di Lanang. Selamat maju jaya kepadanya.

"Sekarang sudah tiba masanya untuk saya balik ke rutin biasa dan berehat," jelasnya.

Pada PRU15 ini di Parlimen Lanang, Wong tewas dengan majoriti besar 11,554 di mana beliau meraih 18,576 undi manakala Alice mendapat 30,120 undi.

Dua calon lagi iaitu Priscilla Lau daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh 3,663 undi dan calon Bebas Datuk Wong Tiing Kiong hanya mendapat 587 undi.
 

Advertisement