Anda di sini

Walaupun kalah, Chiew berjanji akan terus berkhidmat kepada masyarakat di Bintulu

Advertisement
Chiew semasa menyantuni rakyat sekitar Bintulu sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada mereka.
Chiew semasa menyantuni rakyat sekitar Bintulu sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada mereka.

BINTULU: Chiew Chan Yew berjanji akan terus berkhidmat serta menabur bakti kepada rakyat di Bintulu meskipun kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Bintulu.

Beliau dalam kenyataan media hari ini berkata, kekalahan kepada penyandang kerusi Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menabur bakti kepadat rakyat di Bintulu.

"Saya mengakui dan menerima kekalahan ini, tetapi saya berjanji akan terus berkhidmat kepada rakyat di Bintulu bagi memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunaikan semua janji mereka kepada rakyat dalam kempen pilihan raya ini," tegas beliau.

Chiew akan sentiasa cuba memperbaiki diri sendiri dan melakukan yang terbaik bagi menegakkan hak serta kepentingan rakyat termasuk berkhidmat kepada rakyat dengan rendah hati.

Kekalahan itu katanya, akan menjadikan beliau lebih kuat dan bekerja dengan lebih gigih lagi khususnya memberi akses kepada rakyat dalam apa sahaja cara bagi menyelesaikan isu serta permasalahan yang dihadapi.

"Dengan kesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada semua pengundi di Bintulu yang telah memberi sokongan kepada saya pada PRU15," jelas beliau.

Katanya walaupun tidak menang, sokongan daripada para penyokong akan menjadi kekuatan untuk terus bergerak membantu rakyat yang memerlukan khidmat bakti beliau sebagaimana sebelum ini.

"Sokongan serta galakan anda (penyokong) sebelum ini telah dan akan menjadi motivasi kepada saya untuk terus bergerak dengan lebih jauh dan progresif pada masa depan," jelasnya.

Chiew dalam pada itu mengakui bahawa kempen pilihan raya kali ini agak mencabar dan ibarat peperangan besar untuk pasukan kempennya yang berdepan tekanan, penindasan dan kepungan dari semua arah.

Namun begitu katanya, beliau akan menjadikannya sebagai panduan untuk terus menguatkan lagi jentera Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Bintulu pada pilihan raya akan datang.
 

Advertisement