Anda di sini

Ugak hargai kepercayaan pengundi

Advertisement
 

SIBU: "Undian anda (pengundi) menunjukkan anda mempercayai saya sebagai suara anda dan saya berterima kasih kepada anda atas kepercayaan. Saya berjanji akan membawa kita ke tahap yang lebih tinggi dan menyelesaikan semua matlamat untuk Hulu Rajang." 

Demikian kata Datuk Wilson Ugak Kumbong dalam hantaran di Facebook Pusat Khidmat Parlimen P.216 Hulu Rajang hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Ugak berterima kasih kepada semua pengundi, penyokong, sukarelawan, ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan semua rakyat di Parlimen Hulu Rajang.

"Terima kasih juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai, Setiausaha Politik Premier Sarawak, temenggung, pemanca, penghulu, tuai-tuai rumah da semua yang berdedikasi bekerja siang dan malam memastikan majoriti besar kita menang di Hulu Rajang," katanya.

Ugak yang dua penggal sudah mewakili kawasan Parlimen Hulu Rajang sejak 2013 berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Rajang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelmarin.

Ugak memperoleh 15,456 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Abun Sui Anyit yang meraih 7,951 undi dengan majoriti 7,505 undi dalam pertembungan satu lawan satu.

Jumlah undi diterima ialah 23,807, peratus keluar mengundi (54.8 peratus), undi ditolak (311) dan kertas undi tidak dikembalikan (89).

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Rajang Robert Liman di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Suarah Kapit.

Untuk rekod, Parlimen Hulu Rajang pada PRU14 2018 menyaksikan Ugak menewaskan lawan sama di bawah tiket Barisan Nasional (BN) dengan meraih 11,834 undi undi dan majoriti 6,315 undi.

Advertisement