Anda di sini

Tiong berterima kasih kepada pengundi beri majoriti besar

Advertisement
Gambar fail 5 November lalu menunjukkan Tiong menjulang tangannya semasa penamaan calon di Dewan Suarah Bintulu.
Gambar fail 5 November lalu menunjukkan Tiong menjulang tangannya semasa penamaan calon di Dewan Suarah Bintulu.

BINTULU: "Anda menakjubkan, terima kasih, seikhlasnya bersyukur," kata Datuk Seri Tiong King Sing dalam hantaran di Facebooknya selepas menang mudah dengan memperoleh majoriti besar 22,168 undi untuk kekal menyandang kerusi Parlimen Bintulu bagi penggal keenam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

"Kepada semua saudara, kakak dan abang (pengundi) di Bintulu, sokongan anda semua menjadi batu asas untuk saya bergerak ke hadapan, jalan menuju masa depan.

"Mari kita tunjukkan kekuatan untuk bandar ini, memulakan langkah baharu untuk Bintulu," ujarnya.

Tiong meraih 43,455 undi untuk menewaskan Duke Janteng daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 5,650 undi dan Chiew Chan Yew daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 21,287 undi.

Jumlah undi diterima ialah 70,392, peratus keluar mengundi (62.73 peratus), undi ditolak (760) dan kertas undi tidak dikembalikan (104).

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen P217 Bintulu Muhammad Dino Amid di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Suarah Bintulu jam 1.15 pagi.

Tiong turut tiba sekitar jam lebih 12 tengah malam di pusat penjumlahan undi tersebut sebelum pengumuman keputusan.

Pengiraan undi yang dibuat bermula seawal jam 5 petang.

Sebelum itu, calon DAP Chiew Chan Yew yang berada lebih awal di pusat penjumlahan undi tersebut mengambil keputusan balik awal apabila menyedari keputusan undi tidak memihak kepadanya namun sempat bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan media.

Tiong, 61, sebelum ini merupakan penyandang lima penggal kerusi Parlimen Bintulu sejak PRU10 (1999) seterusnya pada PRU11 (2004), PRU12 (2008), PRU13 (2013) dan PRU14 (2018).

Sejumlah 113,599 pemilih berdaftar di Parlimen Bintulu pada PRU15 ini yang dibahagikan kepada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jepak dengan 22,534 pengundi, Tanjong Batu 37,819, Kemena 22,402 dan Samalaju 30,844.

Tiong berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bintulu pada PRU14 2018 di bawah Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh 7,022 undi majoriti (27,076) juga dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan Chiew Chan Yew (DAP) yang mendapat 20,054 undi dan Chieng Lea Phing daripada Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) yang memperoleh 328 undi.

Justeru sekali lagi beliau berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah ke atas kerusi yang disandangnya untuk penggal keenam pada PRU15 ini.
 

  • oleh
  • Advertisement