Anda di sini

Ting, Dr Annuar ucap terima kasih kepada pengundi Sibu

Advertisement
Ting (kiri) dan Dr Annuar (kanan) mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di Bandong Walk, Sibu hari ini.
Ting (kiri) dan Dr Annuar (kanan) mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di Bandong Walk, Sibu hari ini.

SIBU: Bekas calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Sibu Clarence Ting bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee mengadakan kunjungan ke Bandong Walk di sini, mengucapkan terima kasih kepada pengundi hari ini.

Ini sebagai tanda penghargaan kepada pengundi kerana menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.

Ketika ditemui pemberita, Ting berkata beliau menerima dengan hati terbuka kekalahannya malam tadi dan percaya dengan pilihan penduduk Sibu.

"Bagi kaum Cina, pembentukan negara adalah satu perkara penting dan mereka mahu melihat negara ini berubah. Jadi, saya harap Ahli Parlimen Sibu akan membawa suara kita ke Parlimen dan mampu membina Sibu dengan lebih baik," katanya.

Ting berkata, beliau bertanding pada PRU15 ini kerana mahu membawa perubahan di Sibu untuk penduduk Sibu.

"Sibu memang memerlukan perubahan dan memerlukan banyak kemudahan infrastruktur tetapi pengundi berpendapat, negara lebih penting.

"Saya terima itu. Namun, sebagai pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) saya sentiasa berjuang untuk Sibu," jelasnya.

Di samping itu, Dr Annuar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk Sibu atas sokongan mereka.

"Walaupun kita kalah, tetapi kita terus memperjuangkan nasib orang Sibu untuk manfaat orang Sibu itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Oscar Ling daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) berjaya mempertahan kerusi Parlimen Sibu setelah menang dengan majoriti 7,760 undi.

Ling menang untuk penggal ketiga dengan memperoleh 31,287 undi menewaskan calon terdekat, Ting (23,527 undi).

Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh pula memperoleh 11,128 undi. 

Advertisement