Anda di sini

Shahril Hamdan letak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan hari ini mengumumkan peletakan jawatannya atas dasar tanggungjawab secara kolektif, susulan prestasi hambar parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam kenyataan menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Naib Ketua Pemuda UMNO itu bagaimanapun menegaskan akan terus kekal bersama parti berkenaan.

"Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar.

"Seperti ramai (ahli) yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. Ini bukanlah pengakhirannya," katanya.

Pada masa sama, Shahril turut menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpendapat bahawa pemimpin nombor satu iaitu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini iaitu berundur secara terhormat.

"Biarlah kepimpinan dan individu lain (yang) memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini," katanya.

Beliau berkata UMNO juga perlu menimbangkan langkah seterusnya dalam situasi yang menyaksikan tiada pihak mencapai angka 112 (memperoleh majoriti mudah) pada PRU15.

PRU15 semalam menyaksikan BN mencatat prestasi kurang memberangsangkan apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen berbanding pencabarnya Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 82 kerusi manakala Perikatan Nasional meraih 73 kerusi Parlimen.

Shahril turut tewas di kerusi Parlimen Alor Gajah apabila memperoleh 27,288 undi berbanding calon PH Adly Zahari yang mendapat 28,178 undi. - Bernama 

Advertisement