Anda di sini

Roy rampas kembali Parlimen Lubok Antu untuk GPS

Advertisement
 

KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi (gambar) merampas kembali kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Roy daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) memperoleh 6,644 undi dengan majoriti 100 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya. 

Ditemui di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, Roy berterima kasih kepada pengundi di Lubok Antu kerana memberi sokongan kepada GPS dan merampas kembali kerusi itu. 

"Keutamaan selepas ini pastinya pada pembangunan infrastruktur di kawasan Lubok Antu seperti yang kerap saya tekankan dalam kempen terutama di Engkilili yang jauh ketinggalan. 

"Banyak projek yang dicadangkan sebelum ini dibatalkan, jadi saya akan teruskan apa yang Ahli Parlimen sebelum ini tidak dapat laksanakan," katanya. 

Roy calon muka baharu GPS juga percaya kemenangan ini adalah kerana rakyat mahukan pembaharuan di Lubok Antu. 

Dalam pada itu tiga lagi pencabarnya iaitu Dr Johnical Rayong Ngipa daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperolehi 6,544 undi, Jugah Muyang daripada Perikatan Nasional (PN) memperolehi 5,360 undi dan Langga Rias Pakatan Harapan (PH) 746 undi. 
 

  • oleh
  • Advertisement