Anda di sini

PRU15: Calon wanita GPS sapu bersih kesemua kerusi ditandingi

Advertisement
Fatimah (kanan) bersama rakan pemimpin GPS yang lain di BCCK.
Fatimah (kanan) bersama rakan pemimpin GPS yang lain di BCCK.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyapu semua lima kerusi wanita yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Lima kerusi parlimen yang ditandingi wanita GPS ialah Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Sri Aman dan Mukah. 

Kerusi Parlimen Santubong dimenangi Datuk Seri Nancy Shukri, Kota Samarahan (Datuk Rubiah Wang), Batang Sadong (Rodiyah Sapiee), Mukah (Dato Hanifah Hajar Taib) masing-masing  daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). 

Manakala satu lagi kerusi iaitu Sri Aman dimenangi Datuk Doris Sophia Brodie yang bertanding buat pertama kali daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS). 

Mengulas mengenai rekod cemerlang wanita GPS ini, Ketua Wanita GPS Dato Sri Fatimah Abdullah berterima kasih kepada Premier Sarawak kerana mencalonkan wanita dalam PRU15. 

"Alhamdullilah semua calon wanita kami telah menang dan ini tentu sekali memberi perasaan syukur dan dapat memberi motivasi kepada wanita lain. 
 
"Ia juga memberi mesej kepada masyarakat bahawa wanita boleh diterima masyarakat untuk menjadi pemimpin," katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam Sabtu. 

Fatimah yang juga Ketua Wanita PBB juga  berharap ada pertambahan calon wanita  setiap kali pilihan raya dan begitu juga dalam kabinet persekutuan. 

Fatimah turut mengingatkan sebagai  pemimpin wanita mereka  harus bekerja keras memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang diwakili. 

Dalam pada itu Rodiyah dan Doris masing-masing merupakan calon muka baharu GPS daripada PBB dan PRS. 

Nancy memperolehi 43,739 undi dengan majoriti 38,681 undi, Rubiah (42,278 undi, majoriti 29,445 undi), Rodiyah (18,668 undi, majoriti 14,893 undi), Hanifah (21,733 undi, majoriti 15,686 undi) dan Doris (14,131 undi, majoriti 4,039 undi).  
 

  • oleh
  • Advertisement