
MIRI: Seawal jam 6 pagi, Jeffrey Phang Siaw Foong yang merupakan calon GPS bagi kerusi Parlimen Miri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam, dilihat keluar bertemu dan bersalam dengan para peniaga serta penduduk Miri yang menyokongnya.
Meskipun tewas kepada calon PH dalam pertembungan tiga penjuru yang sengit itu, namun Phang keluar ke pasar dan kedai kopi bagi mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada penduduk tempatan kerana keluar mengundi.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang telah menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya pada PRU15 ini," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau juga memberi jaminan akan terus berkhidmat kepada rakyat di Miri melalui Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan bersama ketiga-tiga wakil rakyat peringkat DUN di sini.
Phang yang berjaya memperolehi 33,390 undi tewas kepada Chiew yang memperoleh 39,549 undi dengan majoriti 6,159.
Phang berkata beliau menghormati keputusan semua pengundi kerana itulah yang mereka mahu dan seterusnya menjadi pilihan mereka.
“Saya berharap wakil PH Chiew Choon Man dapat melakukan sesuatu yang lebih baik untuk Miri dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Phang juga mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Miri Adam Yii (Pujut) dan Dato Sri Lee Kim Shin (Senadin) atas bimbingan dan bantuan yang diberikan kepadanya sepanjang tempoh berkempen serta semua ahli pasukan yang setia bersama sepanjang kempennya.
“Dua minggu lalu berkempen bukanlah mudah, semua orang telah bekerja keras.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, isteri dan anak-anak saya atas sokongan mereka,” katanya.
Jika dilihat kepada undi yang diperolehi berbanding PRU lalu pada 2018, Dr Michael Teo memenangi kerusi itu dengan majoriti 13,663 selepas memperoleh 35,739 undi berbanding Datuk Sebastian Ting 22,076 undi, angka itu menunjukkan bahawa kali ini GPS-SUPP telah berjaya memenangi kembali sokongan warga Miri.
Malah Phang tewas dengan majoriti 6,159 berbanding lebih 13,000 yang diperoleh PKR pada pilihan raya lepas.
"Saya percaya kami telah melakukan yang terbaik untuk memenangi semula sokongan penduduk Miri berdasarkan jumlah (undi) dan di tengah-tengah kekalahan itu, ia memberi saya sedikit 'sagu hati', justeru saya ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang telah menyokong saya," tambahnya.