
MIRI: Pakatan Harapan (PH) kembali menguasai Parlimen Miri dengan majoriti 6,159 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini sekali gus memusnahkan harapan GPS dan SUPP menawan kembali kerusi yang pernah menjadi milik mereka suatu waktu dahulu.
Calon PH Chiew Choon Man memperoleh 39,549 undi mengalahkan pesaing terdekat, calon GPS Jeffery Phang memperolehi 33,390 undi.
Kedua-dua mereka jauh meninggalkan calon PSB Datuk Lawrence Lai yang hanya memperoleh 5,209 undi sahaja.
Peguam muda, Chiew yang berlepas ke Kuala Lumpur jam 9 malam tadi tidak menyangka beliau menang dengan memperoleh 6,159 undi kerana mengetahui saingan amat sengit daripada kedua-dua calon lebih-lebih lagi kedua-duanya berpengalaman daripadanya.
"Saya amat berterima kasih kepada penyokong dan pengundi memberi kepercayaan kepada saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Undi P219 Miri di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri malam tadi sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya P219 Miri Abdul Rahman Taupek mengumumkan keputusan secara rasmi jam 11.27 malam tadi memberitahu sebanyak 55.15 peratus (78,148) daripada 143,229 pengundi turun menunaikan tanggungjawab mereka.
Sebanyak 620 kertas undi ditolak dan 228 kertas undi dikembalikan kali ini.
Sementara itu, ketika pengumuman rasmi dibuat malam tadi, tiada seorang pun calon bertanding berada di pusat penjumlahan undi sebaliknya hanya wakil mereka sahaja selepas kedua-dua calon PH dan GPS masing-masing meninggalkan pusat itu.