Anda di sini

PH berpeluang lebih baik menangi kerusi Parlimen Kanowit: Joseph 

Advertisement
 

SIBU: Pakatan Harapan (PH) berpeluang lebih baik memenangi kerusi Parlimen Kanowit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika tiga calon bebas tidak menyertai perebutan kerusi itu, kata Joseph Nyambong.

Ini dibuktikan dengan penurunan mendadak majoriti undi Datuk Aaron Ago Dagang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada majoriti 4,312 undi pada PRU14 kepada 236 pada pilihan raya ini. Penurunan itu 94.5 peratus.
 
Joseph bertanding sebagai calon PH-PKR tewas dalam pertembungan lima penjuru selepas Aaron memperoleh 7,411 undi berbanding 7,175 diperolehinya.

Tiga lagi calon bebas terdiri daripada Michael Lias mendapat 2,289 undi, George Chen (741 undi) dan Dr Elli Luhat (427 undi).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sokongan semua pengundi pada pilihan raya. Saya mencuba sedaya upaya untuk bertemu dan memperkenal diri kepada setiap pengundi di Kanowit sepanjang tempoh berkempen.

“Saya sudah cuba membawa perubahan kepada Kanowit tetapi mungkin masanya belum tiba. Saya percaya generasi muda membawa perubahan diperlukan di sini pada masa akan datang. Mereka mengubah landskap politik di Sarawak," kata Joseph ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau juga mengakui agak sukar baginya melawan jentera pilihan raya lawan.
 
"Berlawan dengan GPS yang lama memegang kerajaan negeri bukanlah satu perkara mudah. Saya didorong oleh keazaman saya untuk berkhidmat kepada rakyat sepanjang tempoh kempen.

“Tetapi saya percaya ada peluang untuk menang (pilihan raya) pada masa depan,” katanya dan menambah, kejatuhan majoriti Aaron menunjukkan PH semakin kukuh di Kanowit.
 
Ini adalah kali kedua Joseph, 61, bekas pengarah Jabatan Imigresen Melaka, bertanding pada pilihan raya.

Kali pertama, beliau bertanding di kerusi Machan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) tetapi tewas dalam pertandingan lima penjuru menentang Allan Siden Gramong daripada GPS, Madang Dimbab daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mary Rita Mathias daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Ngelayang Unau daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

Advertisement