Anda di sini

Pengundi muda tentukan proses demokrasi berjalan sempurna 

Advertisement
 

MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine percaya golongan muda merupakan penentu proses demokrasi terus berjalan dengan sempurna.

Ini melalui pemerhatiannya di kawasan Parlimen Mukah di mana golongan muda penyumbang besar dalam undian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

"Melalui pemerhatian saya, ramai pengundi muda di saluran tiga dan empat di DUN Tellian akhirnya memberi kemenangan kepada GPS di Parlimen Mukah," katanya kepada Utusan Borneo di CENTEXS Mukah setelah pengumuman kemenangan calon GPS Dato Hanifah Hajar Abdul Taib di sini malam tadi.

Menurutnya, ternyata kemenangan GPS di Parlimen Mukah adalah hasil sokongan padu golongan muda.

Melalui itu katanya, ia sesuatu yang perlu dibanggakan terutama penduduk Mukah.

"Kemenangan GPS pada PRU15 ini menyaksikan peningkatan undi majoriti sebanyak lebih dua kali ganda berbanding pada PRU14 lalu.

"Walaupun jika dibandingkan jumlah peratusan pengundian turun, namun majoriti undi meningkat. Ini bermakna sokongan penduduk terhadap GPS menunjukkan peningkatan," jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut mengetahui ada antara pengundi muda mengalami sedikit kekangan.

Royston berkata, antaranya terpaksa balik kampung (kawasan) tempat belajar atau bekerja untuk mengundi di mana ia turut melibatkan kos perjalanan balik kampung.

"Ia dialami ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu namun ternyata ketika PRU15 ini lebih ramai pengundi balik kampung mengundi," katanya.

Hanifah berjaya mempertahan Parlimen Mukah buat kali kedua pada PRU15 ini dengan menewaskan lawan daripada Pakatan Harapan (PH) Abdul Jalil Bujang yang bertanding menentang Hanifah buat kali kedua.

Advertisement