Dengan tiada parti dapat majoriti mudah membentuk kerajaan beri 'kuasa' lebih kepada GPS

KUCHING: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir dengan situasi tergantung memberi peluang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memainkan peranan lebih besar dalam politik nasional.
Penganalisis Politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata situasi tergantung hasil keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu, juga akan memberi 'kuasa' yang lebih kepada GPS.
"GPS boleh memilih tawaran yang lebih baik (daripada parti atau gabungan yang mahu mempelawanya bekerjasama membentuk kerajaan persekutuan) dan mengenakan syarat-syarat untuk Sarawak mendapat kuasa yang lebih baik.
"Ini kerana jalan untuk membentuk kerajaan di Putrajaya terletak pada GPS dan kena melalui GPS," katanya kepada Utusan Borneo hari ini apabila diminta mengulas mengenai keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pusat baharu.
Awang Azman menambah, untuk memainkan peranan penting dalam politik nasional serta mendapat lebih kuasa, GPS mesti mengenakan syarat-syarat lebih realistik untuk Sarawak dan harus dipersetujui parti-parti yang mahu 'melamarnya' bagi membentuk kerajaan persekutuan.
Beliau berkata kerajaan persekutuan yang baharu boleh dibentuk dengan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS, Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan Warisan.
Atau kerajaan campuran terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, GPS dan Warisan, katanya.
Keputusan PRU15 menyaksikan PH memenangi 82 kerusi dan PN 73 kerusi, setakat jam 4.30 pagi (Ahad) apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
PN membuka gelanggang buat kali pertama dalam pilihan raya umum dengan mempamerkan prestasi mengagumkan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo PAS, selain membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN yang sudah bersedia untuk kembali menerajui Putrajaya sebaliknya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.
GPS menang 22 kerusi berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas, GRS dengan enam kerusi, Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) dalam penampilan sulungnya gagal memenangi sebarang kerusi.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang media jam 5 pagi (Ahad) berkata tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan.