Anda di sini

Majoriti besar tunjuk harapan tinggi penduduk Parlimen Petrajaya: Fadillah

Advertisement
Fadillah Yusof merakam kenangan bersama pasukan di BCCK malam Sabtu.
Fadillah Yusof merakam kenangan bersama pasukan di BCCK malam Sabtu.

KUCHING: Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti tinggi merupakan harapan rakyat di Parlimen Petrajaya.

Beliau berkata, ia merupakan satu amanah yang diharapkan oleh penduduk di Parlimen berkenaan bagi melihat kawasan itu terus membangun.

"Terima kasih atas amanah yang diberikan dengan majoriti yang begitu tinggi sekali dan ini bermakna (majoriti tinggi) tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan bertambah.

"Majoriti yang besar ini merupakan harapan tinggi daripada pengundi khasnya golongan muda yang memberi sokongan padu bagi Parlimen Petrajaya," katanya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini malam Sabtu.

Fadillah menjelaskan, beliau selepas ini akan melakukan 'post mortem' dan mengkaji permintaan penduduk untuk dipenuhi.

"Kita akan tunaikan hajat dan permintaan serta aspirasi rakyat termasuk golongan warga emas, wanita, juga belia dan sebagainya.

"Saya juga akan bawa suara mereka (penduduk) dan memastikan kita dapat melaksanakan apa yang dihajatkan oleh mereka serta akan dibawa keperingkat kerajaan nanti," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan PRU15 ini bagi memastikan perjalanan pilihan raya itu lancar.

Terdahulu, Fadillah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Petrajaya dengan memperolehi majoriti 41,363 undi menewaskan pencabarnya.

Beliau mendapat 54,754 undi, calon dari Pakatan Harapan (PH), Sopian Julaihi meraih 13,382 undi manakala calon Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) Othman Abdillah dengan 1,036 undi.
 

  • oleh
  • Advertisement