Anda di sini

Lai kecewa namun tetap hormati keputusan pengundi 

Advertisement
Lai menghormati keputusan pengundi di Parlimen Miri meskipun terkilan tidak dapat mewakili suara rakyat Sarawak membentangkan Akta Referendum di Parlimen. 
Lai menghormati keputusan pengundi di Parlimen Miri meskipun terkilan tidak dapat mewakili suara rakyat Sarawak membentangkan Akta Referendum di Parlimen. 

MIRI: Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Lawrence Lai yang tewas dalam pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Miri selepas pengumuman dibuat malam tadi, berkata beliau agak terkilan dan kecewa dengan kekalahan itu namun tetap menghormati keputusan pengundi. 

"Saya amat menghormati dan dengan rendah hati menerima keputusan pengundi Miri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini. 

“Secara peribadi saya tidak menyesal bertanding pada PRU15 di kerusi Parlimen Miri ini. 

"Tetapi saya kecewa kerana saya kehilangan peluang membentangkan rang undang-undang persendirian Akta Referendum di Parlimen untuk memulihkan sumber, hak dan kedaulatan Sarawak untuk rakyat Sarawak," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan lewat tengah malam tadi.
 
Sejak awal kempennya bermula sebaik penamaan calon pada 5 November lalu, Lai amat menekankan mengenai agenda referendum beliau dan PSB dalam usaha mengembalikan hak-hak Sarawak. 

"Menjadi suara mewakili Sarawak adalah satu-satunya peluang bagi kami membentangkan akta referendum tersebut, namun ternyata rakyat Sarawak memilih tidak menginginkannya. 

"Namun di sebalik itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pengundi yang mengundi saya serta pasukan kempen pilihan raya terutama PBK, PBDS, S4S dan rakan-rakan PSB serta semua petugas sukarelawan yang membantu saya selama ini," jelasnya. 

Dalam pertandingan tiga penjuru Parlimen Miri pada PRU15 ini, Lai yang memperoleh 5,209 undi tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Chiew Choon Man yang memperoleh 39,549 undi. 

Chiew turut mengalahkan pesaing terdekatnya, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Jeffery Phang yang memperoleh 33,390 undi. 

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Miri Abdul Rahman Taupek yang mengumumkan keputusan secara rasmi jam 11.27 malam kelmarin memberitahu, sebanyak 55.15 peratus atau 78,148 daripada 143,229 pengundi turun menunai tanggungjawab mereka pada PRU15 ini. 

Sebanyak 620 kertas undi ditolak dan 228 kertas undi tidak dikembalikan. 

Advertisement