Anda di sini

Ketepikan perbezaan ideologi dan politik demi kemajuan Miri 

Advertisement
 

MIRI: Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man mahu parti-parti politik di sini mengetepikan perbezaan ideologi dan politik demi pembangunan Miri. 

"Kita harus berganding bahu dan bekerjasama untuk memajukan Miri tanpa ada yang tertinggal," jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Chiew yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Miri dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam. 

Kemenangan itu membantu PKR mempertahankan kerusi Miri yang sebelum ini disandang Ketua PKR Miri Dr Michael Teo selama dua penggal. 

"Pastinya saya gembira dengan keputusan ini dan pada masa yang sama meraikan dengan penuh kesyukuran kerana dapat mencipta detik bersejarah ini bersama rakan seperjuangan Pakatan Harapan," jelasnya. 

Menurutnya, tempoh dua minggu mulai 5 hingga 19 November dianggap mencabar dan sukar kerana kali pertama bertanding. 

Seperti yang ditawarkan semasa berkempen, beliau akan berusaha memastikan manifesto untuk penduduk Miri ditunaikan. 

"Tanggungjawab saya pastinya bukan untuk pengundi saya saja tetapi untuk seluruh warga Miri," jelasnya. 

Beliau berterima kasih atas kepercayaan diberikan pengundi di sini memilih beliau sebagai Ahli Parlimen Miri yang baharu dan menyifatkan kemenangan Parlimen Miri adalah kemenangan rakyat. 

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri itu turut menghargai keyakinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Majlis Pimpinan Pusat dan Majlis Pimpinan Negeri Sarawak atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili suara rakyat Miri ke Parlimen. 

Penghargaan terima kasih juga diberikannya kepada teman-teman parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP, MUDA dan AMANAH.

Beliau tidak melupakan sokongan Dr Teo berkempen memastikan kemenangannya dan PH.

"Untuk rakan-rakan media, terima kasih kerana sentiasa melapor pergerakan saya sepanjang tempoh berkempen.

"Tanpa bantuan dan sokongan semua, saya tidak akan dapat mencapai keputusan hari ini," tambahnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement