
SARATOK: Kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) ini adalah suara kebangkitan rakyat di Parlimen Saratok, kata Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.
Katanya, kemenangan majoriti yang tinggi pada PRN15 ini adalah bukti rakyat di Parlimen Saratok marah setelah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menghormati 'Gentlemen Agreement' seperti yang telah dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.
"Pada PRU15 ini, kita telah melihat rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian amnya, telah menunjukkan peningkatan dan kebangkitan bahawa mereka pada selama ini adalah tulang belakang kepada perjuangan saya.
"Pada PRN yang lalu bahawa mereka akur untuk memberi ruang kepada calon GPS memenangi kerusi DUN Krian di atas nasihat dan kerjasama yang baik di antara kedua pihak.
"Rakyat kita di Parlimen Saratok ini telah matang dalam menentukan wakil rakyat yang betul-betul boleh berkhidmat dan berjuang untuk mereka," ujar Ali yang juga merupakan calon dari Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian ketika ditemui ditemui media sejurus selesai proses pengumuman calon yang memenangi kerusi bagi Parlimen Saratok di Dewak Sri Krian, malam Sabtu.
Pada PRU15 ini, Ali Biju yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Saratok berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan menunjukkan peningkatan dengan majoriti 8,826 undi, berbanding PRU14 yang hanya 989 undi sahaja.
Sementara itu, dalam kenyataan medianya pula, Ali berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat di Parlimen Saratok kerana turut memberikan sokongan padu kepada beliau.
"Saya bersyukur kerana dengan kesabaran saya untuk menarik diri dalam PRN Sarawak yang lalu telah dibalas dengan sokongan yang bertambah para PRU15 ini.
"Terima kasih kepada para pengundi dan rakyat di Parlimen Saratok amnya, yang memahami tindakkan dan perjuangan yang saya hadapi pada selama ini.
"Oleh yang demikian, saya berikrar akan mengalas tugas dan kepercayaan ini dengan penuh amanah bagi semua rakyat di kawasan ini," ujar Ali lagi.
Dalam keputusan rasmi PRU15 ini, Ali Biju telah berjaya mendapat 19,223 undi, manakala calon GPS Giendam Jonathan Tait mendapat 10,397 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Ibil Jaya Mundat mendapat 1,221 undi.
Dengan keputusan tersebut, Ali Biju telah berjaya mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal kedua dan juga menjadi calon tunggal dari PN yang berjaya mendapat kerusi Parlimen di Sarawak.
Pada PRU15 ini, Parlimen Saratok mempunyai seramai 44,531 orang pengundi berdaftar.