Anda di sini

Keadaan hari mengundi terkawal, 14 laporan diterima

Advertisement
 

KUCHING: Polis Sarawak menerima 14 laporan ketika hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di seluruh negeri ini.

Jurucakap Media PRU15 Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata, ia laporan yang diterima sepanjang 24 jam tempoh hari mengundi itu berlangsung semalam.

Menurutnya, daripada jumlah laporan terbabit, polis telah membuka lapan kertas siasatan yang akan disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan pilihan raya.

"Sebanyak lapan kes daripada laporan itu berkaitan kad pengenalan pengadu telah diguna pakai oleh individu lain ketika hendak mengundi.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Douglas menambah, selain itu satu laporan diterima untuk menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan undang-undang yang diguna pakai pihak terbabit berkaitan larangan membawa telefon bimbit ketika mengundi.

"Pengadu memohon kepada SPR untuk menjawab dan menjelaskan kepada rakyat Malaysia tentang undang-undang yang digunakan di mana rakyat tidak boleh membawa telefon bimbit ketika mengundi," jelasnya.

Selain itu, satu laporan berkaitan kertas undi rosak akibat terkena dakwat sekali gus pengadu tidak dibenarkan mengundi semula.

Katanya, pengadu telah meminta kertas undi baharu namun pihak SPR mengarahkan pengadu memasukkan kertas undi rosak ke dalam peti undi.

Laporan lain ialah melibatkan kad pengenalan pengundi tertukar dengan orang lain sebelum ia dapat dijumpai semula, cuba membeli undi di tepi jalan serta tuduhan penipuan oleh parti tempatan pada PRU15.

Menurut Douglas, kesemua laporan terbabit diterima di Bintulu, Kanowit, Miri, Kuching, Petra Jaya, Sibu, Bau serta Kota Padawan.

Mengenai tempoh pembuangan undi, polis memberitahu bahawa keadaan selamat dan terkawal dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Advertisement