Anda di sini

Joseph Salang akan jalankan analisis kekalahannya

Advertisement
 

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum (gambar) akan menganalisis kekalahan kedua beliau untuk merampas kembali kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  ini.

Salang yang  menerima keputusan kekalahan kali kedua itu dengan hati terbuka berkata, kemungkinan calon lain akan diletakkan di kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

 "Kita akan menganalisis mengapa keputusannya begitu dan mungkin kita boleh memperbaikinya pada masa hadapan. Bukan untuk saya tetapi untuk orang lain," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam Sabtu, tempat pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS)  berkumpul untuk pengumuman rasmi keputusan PRU15. 

Ujar Salang lagi, kadar keluar mengundi yang lebih rendah sebanyak 65.8 peratus mungkin juga memainkan peranan dalam kekalahannya. 

 "Namun begitu, pengundi telah membuat keputusan. Hasilnya mencerminkan keutamaan pengundi dan juga agak mengejutkan bahawa banyak undi diberikan kepada calon bebas," katanya. 

 Selain itu, Salang menjelaskan pengundi telah memberikan maklum balas positif semasa kempennya tetapi agak mengecewakan keputusan pilihan raya tidak memihak kepadanya.

 Salang mencatatkan kekalahan kedua dalam pilihan raya kepada Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng, yang memperoleh sejumlah 9,159 undi dengan majoriti 1,340 undi.

Salang memperolehi  7,819 undi, diikuti calon bebas Elly Lawai Ngalai dengan 5,224 undi dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Susan George dengan 335 undi.

Terdapat sejumlah 34,850 pemilih berdaftar di Julau dan kadar keluar mengundi ialah 65.8 peratus.

Pada pilihan raya umum 2013, Salang tewas kepada Sng, yang ketika itu merupakan calon bebas, dengan  10,105 undi dan  majoriti 1,931 undi dalam pertarungan satu lawan satu. 
 

  • oleh
  • Advertisement