
LIMBANG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah melakar kemenangan bergaya sekali gus mengekalkan Parlimen Limbang bagi penggal keempat dengan majoriti sebanyak 9,998 undi, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
Hasbi memperoleh 14,897 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Racha Balang dengan 4,899 undi.

Sebanyak 228 undi ditolak manakala 47.93 peratus daripada 20,024 pengundi telah keluar mengundi.
Pengiraan kotak pembuangan undi termasuk undi pos di 53 pusat pengundian membabitkan 101 saluran selesai sekitar jam 12 tengah malam tadi.
Bagaimanapun keputusan rasmi bagi kerusi Parlimen Limbang terpaksa ditangguh berikutan kelewatan dua peti undi dari Pusat Mengundi Long Napir yang menyaksikan keputusan tidak dapat diumum malam tadi.
Menurut petugas SPR ia disebabkan masalah helikopter yang tidak dapat mendarat di Limbang petang semalam susulan masalah teknikal.
Dua peti undi tiba di Dewan Suarah jam 11.40 pagi dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Limbang Petrick Linggie Taboh mengumumkan keputusan itu pada jam 11.50 pagi.
Pada PRU14 Hasbi memperoleh majoriti sebanyak 7,710 undi, berbanding 8,301 undi pada PRU13.
Hasbi memperoleh 12,589 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Ricardo Yampil Baba meraih 4,879 undi.